Sampai Bila Hendak Jadi Pustakawan?

Sememangnya, menjadi seorang Pustakawan merupakan tugasan yang mulia. Membantu orang lain mendapatkan maklumat, menyimpan maklumat dan menguruskannya, malahan ada yang terpaksa memasarkan maklumat. Itu semua adalah lumrah menjadi seorang Pustakawan. Juga boleh dikatakan tugas seorang Pustakawan adalah sebagai Pengurus Maklumat, Pengurus Pengetahuan, atau Pekerja Maklumat. Maklumat di sini bermaksud maklumat yang boleh disebarkan, untuk tujuan pengkajian, untuk bacaan dan sebagainya. Ia bukan bermaksud maklumat sulit dan sebagainya kerana itu bukanlah tugas seorang Pustakawan.

Kebanjiran ramai graduan yang layak menjadi Pustakawan dewasa ini memaksa seseorang yang berkelulusan Ijazah Pertama tidak lagi mampu bersaing dengan ramai Pustakawan yang rata-rata terpaksa memiliki Ijazah Lanjutan atau Master. Pemegang Ijazah Lanjutan yang ramai telah membuatkan para Pustakawan hanya mampu melihat dua pilihan, iaitu memasuki sektor swasta yang akan membuatkan seseorang Pustakawan tidak dipandang tinggi melainkan hanya sebiji kacang atau terpaksa melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi. Sudah sedia maklum, kebanyakan organisasi hanya menganggap sesebuah pusat sumber sebagai kacang kerana ianya banyak menggunakan bajet syarikat tetapi tidak banyak memberi sumbangan dari segi keuntungan. Sebagai contoh, untuk membeli sistem pengurusan perpustakaan memerlukan peruntukan sebanyak RM150,000 untuk pembelian dan anggaran RM17,000 - RM30,000 untuk sokongan tahunan selepas tempoh setahun sedangkan bilangan koleksi pusat sumber hanya sekitar 1000 buah sahaja, tentulah pihak pengurusan syarikat geleng kepala bagaimana hendak memutar modal untuk pusat sumber untuk dijadikan keuntungan. Itu belum lagi jika dihitung belanjawan untuk pembelian rak buku, rak majalah, dan pelbagai peralatan Pustakawan yang perlu disediakan.

Apabila seseuatu bajet tidak diluluskan oleh pihak pengurusan syarikat swasta, maka yang tertekan ialah para pustakawan atau pengurus pusat sumber itu sendiri. Kerana apa? Kerana seseorang Pustakawan itu tahu apa yang sepatutnya ada di sesebuah pusat sumber, sedangkan pihak pengurusan dengan falsafah kacangnya terhadap pusat sumber, langsung tidak memahami keperluan sesebuah pusat sumber dan hanya memandang kepada wang yang mungkin terpaksa dikeluarkan untuk operasi pusat sumber di syarikat mereka. Lantas belanjawan yang diminta tidak diluluskan, dan meminta para Pustakawan untuk menggunakan apa sahaja sumber yang tersedia bagi menjimatkan kos. Kalau boleh, hanya seorang Pustakawan Profesional diletakkan di pusat sumber syarikat tersebut hanya untuk mendapatkan akreditasi. Sekiranya untuk mendapatkan akreditasi tidak memerlukan seorang Pustakawan Profesional, dengan mudah sahaja mereka akan menggajikan seorang pegawai untuk dijadikan Pustakawan 'Ciptaan' di syarikat mereka.

Kekecewaan demi kekecewaan dirasai oleh seorang Pustakawan di syarikat swasta atau kolej swasta yang berkapisiti kecil. Kerana pihak pengurusan terlalu memandang keuntungan, lantas mengetepikan tanggungjawab sosial kepada masyarakat mahupun kepada para pekerja di syarikat tersebut. Pada kebiasaannya, seorang Pustakawan Profesional yang ditugaskan untuk mengurus maklumat tidak akan dibayar tinggi kerana dianggap sebagai tidak membuat sebarang keuntungan. Sebagai contoh, Pustakawan di bahagian atau jabatan undang-undang atau di firma guaman pasti akan diperkotak-katikkan oleh para pekerja untuk mencari kes-kes daripada jurnal perundangan untuk dijadikan sandaran kes yang sedang mereka kendalikan. Sedangkan para pekerja undang-undang dan pustakawan sama-sama memiliki ijazah sarjana muda kepujian, tetapi Pustakawan pula menjadi 'kuli' kepada para pekerja tersebut. Ini telah menambahkan tekanan kepada para pustakawan. Ada juga diantara pekerja-pekerja tersebut tidak mengetahui bahawa Pustakawan sememangnya memiliki Ijazah Sarjana Muda, sangka mereka, Pustakawan hanya memiliki kelulusan tahap STPM sahaja.

Untuk melawan 'takdir' ini, seseorang Pustakawan di syarikat atau kolej swasta seharusnya melakukan anjakan paradigma, iaitu daripada menjadi pustakawan pasif yang hanya membuat kataloging bahan pusat sumber dan kerja-kerja pembelian bahan atau menguruskan buku di rak-rak kepada memasarkan bahan pusat sumber yang mereka kendalikan itu. Setidak-tidaknya pihak pengurusan akan buka mata terhadap kapabiliti pusat sumber yang terdapat di syarikat mereka. Tetapi, syaratnya ialah pihak pengurusan perlulah menggajikan kumpulan pemasaran yang berlatarbelakang Pustakawan untuk memasarkan koleksi-koleksi yang dimiliki dan menjadikan pusat sumber yang agak pasif itu kepada sebuah pusat sumber awam yang boleh diakses oleh pihak luar yang berminat untuk mendapatkan maklumat berkaitan di pusat sumber tersebut. Barangkali, ini sahajalah yang dapat menyelamatkan kerjaya seseorang Pustakawan. Jika tidak, kita boleh bertanya kepada mana-mana Pustakawan di syarikat swasta ataupun kolej swasta, sampai bila hendak jadi Pustakawan?

0 comments:

Post a Comment

My Instagram