Orang bijak adalah orang yang dapat menentukan output yang dikehendaki..

Kemaskini Facebook saya pada pagi ini berbunyi "Orang bijak adalah orang yang dapat menentukan output yang dikehendaki, berbanding dengan orang yang hanya memikirkan dimana hendak bermula!". Bagi saya, kebijaksanaan seseorang bukanlah berdasarkan jumlah PhD atau Ijazah Sarjana yang dimiliki, tetapi berdasarkan kepada bagaimana beliau menyelesaikan masalah yang datang. Oleh sebab itu, saya berpendapat bahawa, kebijaksanaan seseorang itu terserlah dengan output yang bagaimana beliau hendak hasilkan, bukanlah sangat kepada proses yang hendak dijalankan.

Masakan tidak, orang yang terlalu sangkut kepada proses dengan pegangan bahawa proses adalah lebih penting bagi menunjukkan betapa proaktifnya seseorang adalah satu tanggapan yang meleset dari realiti penyelesaian masalah yang dihadapi. Bagi saya, seseorang yang terlalu 'ralit' dengan proses, akan ketinggalan dalam mengejar tarikh akhir penghasilan output. Ini bukan cakap kosong semata-mata, kerana saya sendiri biasa melihat para pengurus yang terlalu hebat dalam merancang, dengan dicampuradunkan dengan persembahan proaktif yang membuatkan orang lain terpana, namun akhirnya, tidak juga mampu menghasilkan output yang diharapkan, malahan lari pula dari garisan masa yang telah ditetapkan.

Kita perlu menentukan terlebih dahulu output yang kita kehendaki. Bak tulisan di dalam buku 7 Tabiat Orang Yang Berkesan tulisan Dr. Stephen R Covey, 'Begin With End In Mind', maka seharusnya dalam perancangan kita, tentukan dahulu outputnya, seterusnya barulah kita tentukan jalan-jalan ke arahnya. Menentukan output pula bukanlah sekadar 'main tembak' sahaja, tetapi mestilah ditentukan berdasarkan kaedah menetapkan matlamat iaitu SMART (Smart, Measureable, Attainable, Realitic dan Time Bound) sebelum mula merancang timeline sesuatu perancangan.

Contoh yang sedang saya hadapi tetapi saya tidak mempunyai kuasa untuk mengubahnya ialah apabila saya dikehendaki untuk membuat benchmark menghasilkan polisi pusat sumber. Ceritanya ialah apabila saya dikehendaki membuat perbandingan antara pusat sumber yang saya menjadi ketuanya dengan Perpustakaan Negara Malaysia, Perpustakaan Universiti Teknologi MARA (PTAR) dan Pusat Sumber Perniagaan, MATRADE. Proses yang saya perlu ikuti ialah mencari maklumat-maklumat yang penuh berkenaan dengan polisi di perpustakaan dan pusat sumber tersebut. Saya perlu mencari seberapa banyak maklumat yang boleh untuk memenuhkan jadual perbandingan yang dibuat.

Pada pandangan saya, output perlu ditetapkan dahulu. Outpun di dalam fikiran saya ialah, perbandingan mestilah dibuat dengan perpustakaan khusus sahaja, iaitu Pusat Sumber Perniagaan, MATRADE. Mengapa perlu saya menjalankan kajian mengenai polisi perpustakaan terhadap sebuah perpustakaan negara (PNM) dan perpustakaan akademik (PTAR) sedangkan pusat sumber yang saya menjadi ketuanya adalah perpustakaan khusus? Memang lah ianya boleh sahaja dilakukan untuk menampilkan paparan proaktif kepada mereka yang tidak mahu melihatpun perbandingan-perbandingan tersebut, tetapi adakah ianya satu keperluan? Kita hanya perlu memudahkan cara dan menjadikan sesuatu itu mudah. Pada pendapat saya, yang perlu diperbandingkan ialah perpustakaan-perpustakaan khusus! Saya tidak boleh membantah kerana kita bukanlah seperti di syarikat-syarikat di Amerika Syarikat dimana staf bawahan boleh sahaja mengemukakan cadangan bernas kepada pihak pengurusan. Kita di sini perlu menjadi staf yang tahu 'menghormati' orang atas.

Cerita di atas bukanlah sesuatu yang negatif. Sekiranya kita menjadikan cerita di atas sebagai negatif, maka ia akan menjadi negatif. Fahami dan selami cerita-cerita yang dipaparkan secara positif, maka akhirnya kita akan menjadi pendengar cerita yang akan menghasilkan output yang positif juga. Jadi, tidak mahu menyimpulkan secara panjang lebar, marilah kita menentukan output yang kita kehendaki, kemudian barulah kita tentukan proses. Mana tahu kalau-kalau dalam menetapkan proses-proses yang kita boleh simplified agar ia tidak jadi berbelit-belit dan menyusahkan orang lain!

0 comments:

Post a Comment

My Instagram