Kadangkala saya rasakan bahawa kehidupan bekerjaya saya sudah sampai ke penghujung. Saya perlu keluar daripada organisasi tempat saya bekerja untuk menabur bakti kepada para pelajar di luar sana demi niat untuk memandaikan bangsa.
Bukanlah saya seorang yang sangat pandai sehingga boleh mengajar orang, namun keinginan yang meluap-luap untuk berkongsi pengalaman kepada ratusan ribu pelajar menengah dan rendah di sekolah-sekolah seluruh Malaysia untuk mengajak mereka menyelami sebab-sebab mereka ke sekolah yang seterusnya membuka minda mereka untuk berusaha ke arah kejayaan selepas sekolah nanti.
Dan saya juga bukanlah tidak menyukai organisasi tempat saya bekerja, masakan tidak, fungsi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) tempat saya bekerja ini adalah sebuah GLC yang bukan calang-calang syarikat tetapi ia berkaitan dengan agenda sejagat untuk memelihara darah daging dengan makanan dan peralatan halal. Ia juga satu perjuangan untuk rakyat dan negara.
Saya sudahpun menghasilkan dua buah buku motivasi. Yang saya rasakan ia adalah dua keajaiban terhebat pernah saya hasilkan sepanjang hidup saya, di mana pengedaran buku tersebut adalah ke seluruh negara. Muncul sekali di kaca TV1 untuk bual bicara Selamat Pagi 1Malaysia berkenaan dengan buku pertama saya iaitu Siapa Kita 10 Tahun Lagi? pula adalah satu perkara yang tidak pernah saya sangka akan terjadi di dalam hidup saya.
Kedua-dua buah buku tersebut adalah 'lesen besar' kepada saya untuk bergerak keluar dan berjihad membantu orang lain untuk meningkatkan kehidupan mereka, kalaupun tidak banyak, sekadar sampai mesej yang boleh mengubah sedikit atau banyak kehidupan mereka. Namun kesibukan di tempat kerja begitu 'menyongkong' saya sehingga membuatkan saya terus berada di dalam bidang kepustakawanan di organisasi ini untuk beberapa ketika.
Tiada orang yang mahu mengajar saya berkaitan hidup, kalau saya ingin keluar. Sepanjang saya berkenalan dengan ramai orang, tidak ramai yang mahu berkongsi rahsia mereka selepas mereka keluar daripada organisasi tempat mereka bekerja. Mungkin malu mengingati saat-saat mula naik dahulu atau ianya adalah rahsia yang perlu dibayar untuk memilikinya, tidaklah saya ketahui.
Oleh itu, saya perlu memikirkan sendiri kerana kehidupan kita adalah di tangan kita. Kita tidak boleh merujuk 100% jalan hidup orang lain selain daripada membina jalan hidup kita sendiri. Barangkali apa yang dilalui oleh orang lain, tidak berapa sesuai untuk kita praktikkan dalam kehidupan kita sendiri. "Hanya tangan kita yang boleh membantu kita", bak kata negarawan ulung, Tun Dr Mahathir.
Pencarian susur-susur kehidupan wajar dilalui dengan berani. Saya mesti berani melangkah supaya tidak tersekat di satu tampuk kehidupan yang nampak selesa tetapi tidaklah memberi kebaikan jangka panjang sehingga ke masa depan. Segala perancangan yang telah dibuat, perlu dijalankan tindakan agar saya sendiri dapat mencapai objektif yang telah saya tetapkan! In Sha Allah!
0 comments:
Post a Comment