Seorang Profesor berbangsa Amerika di institut penyelidikan tempat saya bekerja ini pernah berkata dalam Bahasa Inggeris, tetapi saya terjemahkan ke Bahasa Malaysia, yang berbunyi, “Jika kita memilih untuk melakukan banyak perkara, kita tidak akan sukses dalam kesemuanya, jika kita memilih untuk melakukan satu perkara, insya Allah kita akan sukses dalam perkara tersebut”. Nasihat ini diberikan kepada saya dan beberapa orang lagi yang mendengar semasa kami sedang makan tengahari di Bangsar minggu lepas.
Saya teringat kembali kata-kata tersebut. Saya baru sahaja menerima tawaran kerja sebagai Ketua Pusat Sumber di sebuah agensi kerajaan berdekatan Serdang. Saya amat risau akan tanggungjawab yang akan saya pikul sebagai ketua jabatan di sana. Masakan tidak, selama ini jawatan paling tinggi yang pernah saya jawat ialah jawatan sekarang iaitu Pustakawan Kanan, jawatan kanan di institut penyelidikan tempat saya bekerja sekarang. Saya tidak pernah menjadi ketua dalam agensi yang besar. Paling besar pun ialah Pustakawan di sebuah kolej swasta. Pastinya saya akan berhadapan dengan para profesional dan melayani kehendak maklumat mereka saban hari apabila saya menjadi Ketua Pusat Sumber di sana. Memikirkan beban tugas sebagai seorang ‘Head’, saya mula menulis ‘plan paper’ saya untuk jawatan yang baru itu nanti. Bahkan, pada masa sekarang saya sudah tidak terlalu memikirkan mengenai fotografi lagi.
Ya, sejak kebelakangan ini, saya agak sibuk membahagikan masa antara kerja ‘betul’ dan kerja ‘part time’. Satu masa dahulu, seorang rakan di tempat kerja lama saya ada mengingatkan saya, bahawa jika dalam keadaan memiliki tugas sebagai banker (dulu saya pernah bekerja di bank sebagai Pustakawan, Pegawai Latihan dan akhirnya tercampak ke arena perbankan) dan tugas secara separuh masa (berniagalah, apa lagi?), maka utamakanlah kerja ‘betul’ tersebut. Bukan kerana kita pernah menggunakan masa bekerja untuk menjawab telefon peniagaan sampingan, tetapi kerana memahami bahawa kita perlu fokus kepada kerja utama terlebih dahulu.
Bagi saya, perlu diakui kebenaran kata-kata profesor dan bekas rakan sekerja saya itu. Kita perlu melihat, dari mana kita dapat wang untuk meneruskan kehidupan kita? Adakah dari kerja sampingan kita? Atau dari kerja ‘betul’ kita? Kalau sumber pendapatan kita datang dari kerja sampingan, sudah tentulah semua wang kita datang dari kerja sampingan tersebut, tetapi itu mustahil kerana kita masih memiliki kerja tetap dan kita datang ke pejabat setiap hari untuk bekerja. Jadi sekiranya kita tahu bahawa gaji bulanan kita yang amat cukup itu datangnya dari kerja tetap, maka kita perlu fokus kepada kerja tetap tersebut. Fokus disini bermakna kita perlu melakukan kerja di pejabat untuk kerja pejabat, dan pada luar waktu pejabat, barulah dilakukan kerja sampingan tersebut.
Apabila saya membaca forum atau blog yang begitu banyak di internet, saya terkadang tertanya kepada diri saya, mereka yang terlalu menumpukan perhatian pada forum atau blog itu menggunakan masa yang mana untuk membaca dan menulis? Tentunya waktu kerja digunakan. Saya pernah melihat di dalam satu forum, ada ahli forum yang mempunyai jumlah posting sehingga berbelas ribu! Adakah mereka fokus kepada forum tersebut atau fokus kepada kerja yang memberikan mereka wang setiap bulan? Dan paling penting, adakah forum itu yang memberikan mereka gaji bulanan?
Atas dasar itu, maka saya berpendapat bahawa biarlah saya kurangkan aktiviti fotografi saya, takut-takut kalau ia mengganggu kerja ‘betul’ saya. Biarlah ia menjadi hobi semata-mata dan jika ada mana-mana pihak yang ingin ‘enggage’ saya untuk melakukan ‘job’, insya Allah saya akan penuhi tetapi biarlah ia tidak mengganggu kerja tetap saya. Biarlah perkhidmatan saya dihebahkan dengan sendirinya melalui internet atau hebahan dari mulut ke mulut. Kerana dengan kerja tetap sebagai Pustakawan itulah saya mendapat wang untuk perbelanjaan bulanan dan menyara anak dan isteri. Kemungkinan juga saya tidak akan membuka atau membaca forum mengenai fotografi lagi pada waktu bekerja, kecuali dirumah, insya Allah. Ini bagi memastikan bahawa masa bekerja di pejabat ialah diperuntukkan untuk melakukan kerja-kerja di pejabat sahaja dan tidak mencuri masa pejabat untuk kerja-kerja lain selain daripada kerja-kerja pejabat, insya Allah. Kerana kalau kita tidak fokus pada sesuatu kerja dan mengikuti sahaja kata hati untuk melakukan pelbagai kerja, maka semua kerja tidak akan sukses, malahan akan mempengaruhi prestasi kerja pejabat. Jadi, fokuslah pada satu kerja, supaya kita akan sukses dalam kerja yang kita fokuskan itu. Kerana kerja tersebutlah yang memberikan kita wang setiap bulan untuk menyara diri kita dan keluarga kita..
Bak kata Dr. Stephen Covey, “First Thing First..”
0 comments:
Post a Comment