Saya sudahpun menghantar e-mel pengesahan penerimaan jawatan sebagai Head of Knowledge Resource Centre di sebuah agensi kerajaan yang beribu pejabat di The Mines, Serdang pagi tadi. Rasa hati ini amat berdebar-debar sekali memandangkan pada hari ini saya juga akan menghantar surat perletakan jawatan saya di institut penyelidikan tempat saya bekerja sekarang. Bagaimana saya akan berhadapan dengan ketua saya nanti? Apakah reaksinya? Bagaimana saya akan menjawab soalan-soalan yang ditanya kepada saya nanti? Semua itu agak mencemaskan saya. Yelah, setiap orang mahukan yang terbaik untuk dirinya. Begitu juga dengan saya.
Memandangkan tugas baru saya nanti adalah sebagai seorang Ketua Unit, memang saya akan bertungkus lumus dengan lebih lagi kerana saya tidak pernah menjadi salah seorang ketua di sebuah agensi kerajaan. Kalau di agensi swasta pernah juga 3 kali menjadi pengurus perpustakaan. Sekarangpun saya hanya bekerja sebagai Pustakawan Kanan atau Senior Librarian, dan saya masih mempunyai ketua iaitu pengurus di institut ini.
Pada kebiasaan orang, memang akan terjadi suasana yang agak ‘berdebar’ ini. Bagaimana saya akan memenuhi kehendak dan matlamat syarikat? Bagaimana saya akan mengatur langkah sebagai seorang ketua? Semua itu bermain di fikiran saya. Peluang ini hanya datang sekali, dan saya tidak mahu melepaskannya!
Saya tidak pasti lagi apa tugas saya di sana, tetapi berharap semuanya akan berjalan dengan lancar, insya Allah. Syukur Alhamdulillah, inilah anugerah dari Allah yang tidak ternilai harganya.
0 comments:
Post a Comment