Berkunjung ke KL PC Fair merupakan aktiviti wajib bagi kebanyakan orang. Tetapi bagi saya, setelah bertahun-tahun mengunjunginya, persepsi saya semakin berubah terhadap PC Fair. Lebih-lebih lagi setelah lokasinya bertukar dari PWTC ke KLCC, semakin tidak mahu saya mengunjunginya. Namun kerana menemani bapa saya, saya dan keluarga termasuk isteri dan anak saya telah mengunjungi PC Fair di KLCC semalam. Semalam merupakan hari terakhir dan sudah tentu bilangan pengunjung yang hadir mungkin dua tiga kali ganda ramainya.
Sebenarnya, dengan keadaan sesak yang teramat sangat di PC Fair, saya lebih suka tidur di rumah. Dengan hujan lebat selama 5 jam sejak saya sampai pada pukul 3 dan pulang pada pukul 8, ramai yang mengikut jalan bawah iaitu jalan ke Aquaria. Suhu panas di tempat letak kereta menambahkan sengsara tetapi akhirnya terubat apabila sampai di tangga untuk naik ke tingkat 3 yang terdapatnya pendingin hawa yang agak kuat dan menyejukkan hati dan tubuh setiap pengunjung. Keadaan bersesak-sesak itu menyebabkan saya dan keluarga lebih berhati-hati terhadap sebarang cubaan pencopet dompet dan beg tangan. Saya meletakkan dompet saya di poket hadapan sebagai langkah berjaga-jaga.
Apa yang saya dapat lihat, seperti juga tahun-tahun sebelumnya, saya lebih suka membeli peralatan computer di Plaza Low Yat daripada membeli di PC Fair. Kerana apa? Kerana harga yang ditawarkan untuk barang-barang kecil tidak jauh beza daripada yang dijual di Plaza Low Yat. Itu untuk barang-barang yang saya perlukan. Untuk barang-barang yang saya tidak perlukan seperti beg laptop, kulit laptop (trend terkini), tidak pula saya hiraukan. Ada juga gerai yang menjual kad CF 4GB pada harga RM54 sedangkan di Plaza Low Yat, saya boleh mendapatkannya dengan harga RM53! ADakah berbaloi untuk saya bersesak-sesak sedangkan saya akan rugi RM1?
Empat lima tahun dulu, isteri saya pernah membeli thumbdrive 1GB dari PC Fair semasa ianya diadakan di PWTC. Pada masa itu harganya lebih kurang RM98 (saya pun tidak berapa ingat lagi). Ditakdirkan thumbdrive tersebut rosak dan saya mencadangkan kepada isteri saya untuk menghantar kembali ke syarikat yang membuka gerai di PC Fair tersebut, tempat isteri saya membeli thumdrive itu. Kami mencari kembali resit pembelian dan ternampak nombor telefon kedai. Setelah menelefon kedai tersebut, pekedai meminta kami menghantar kembali thumdrive tersebut ke ibupejabatnya di bangunan bersebelahan Plaza Low Yat.
Kami menunggu juga seminggu sehingga ke dua minggu tetapi pekedai masih tidak menyatakan bahawa thumbdrive itu sudah sedia untuk diambil ataupun belum. Sehingga sekarang, sudah 4 setengah tahun kami menunggu tetapi masih lagi tidak diketahui status thumbdrive tersebut. Thumbdrive 2GB kini pun sudah berharga RM25 sahaja! Sejak itu, saya dan isteri tidak berani untuk membeli sebarang peralatan computer di PC Fair. Kalau membeli di Plaza Low Yat, kita sebagai pembeli akan berasa terjamin kerana kita tahu di mana kedai tempat kita membeli sesuatu perlatan tersebut.
Susur galur perjalanan di PC Fair semalam agak menyusahkan. Kerana setiap pengunjung mesti melalui semua dewan untuk keluar dari PC Fair tersebut. Saya berasa amat letih berjalan dari satu tingkat ke satu tingkat yang lain dan terpaksa melalui kawasan yang sesak seperti di dewan pertama yang menempatkan syarikat-syarikat telko yang mencari pelanggan untuk perkhidmatan jalur lebar mereka. Tidak seperti di kompleks membeli-belah, bilangan para pekerja syarikat-syarikat telko tersebut menjangkau 30-40 orang pada jangkaan saya untuk setiap syarikat. Mereka berbaris dan merayu para pengunjung yang melalui kawasan tersebut. Laluan menjadi sempit kerana setiap pengunjung terpaksa melayan untuk menolak pakej yang ditawarkan oleh para pekerja syarikat-syarikat telko tersebut.
Saya dan keluarga sampai di sana selepas waktu Asar dan hanya dapat keluar sejurus selepas waktu Maghrib, iaitu lebih kurang pukul 7:45. Memang meletihkan, dan kami tidak pula membeli sebarang benda pun, hanya melihat-lihat sahaja. Masakan tidak, setelah melalui kesukaran mendapatkan hak jaminan untuk thumbdrive tersebut, saya mungkin tidak mahu membeli barang-barang yang lebih daripada RM10 di PC Fair. Saya juga melihat DVD Writer yang dijual di PC Fair dengan harga RM80, tetapi harga tersebut mungkin saya boleh dapatkan di Plaza Low Yat tanpa perlu berebut dan bersesak. Benar, kemuncak harga murah ialah pada pukul 8 hingga 9 pada hari terakhir semalam, namun adakah berbaloi untuk saya bersesak-sesak lagi sehingga operasi ditutup?
Mungkin selepas ini, sekiranya saya ingin membeli peralatan computer, saya pastinya akan ke Plaza Low Yat. Dengan harga yang hampir sama dengan dengan yang ditawarkan di PC Fair, adalah lebih baik saya leisure sahaja ketika membeli belah di Plaza Low Yat!
0 comments:
Post a Comment