Kerugian Untuk Risau

Saya pernah mendengar bahawa 90% daripada kerisauan kita memang tidak akan berlaku. Banyak juga 90% kerugian yang kita lakukan setiap hari sekiranya kita risau. Satu fakta menarik yang perlu direnungkan bersama. Memandangkan kebanyakan daripada kita selalu risau akan sesuatu atau banyak perkara, maka marilah kita berkongsi pengalaman kerisauan kita yang sememangnya tidak pernah terjadi.

Semalam saya telah mengunjungi KL PC Fair yang diadakan di KLCC (disebelah menara berkembar Petronas KLCC). Dengan bilangan pengunjung yang terlampau ramai, saya hanya boleh meletakkan kereta saya jauh dari KLCC iaitu di Bangunan Kompleks Beli Belah Ampang Park. Saya dan keluarga tidak lagi dapat memikirkan berapa RM kos setiap jam untuk meletakkan kereta di situ, dan pada pengetahuan kami, kemungkinan besar cuma RM3 untuk sejam.

Memandangkan semalam hujan telah turun dengan lebatnya daripada pukul 4 petang sehingga malam, maka kami seperti orang lain juga, tersangkut di PC Fair selama hampir 3 jam. Dan kami telah meletakkan kereta di Kompleks Beli Belah Ampang Park daripada pukul 3:30 sehinggalah kami sampai semula ke kereta pada pukul 9 malam. Sejak keluar dari PC Fair iaitu lebih kurang pukul 7:45, saya sentiasa risaukan berapakah kos untuk parking tersebut? Ibu saya menegaskan tidak perlu risau kalau dicaj RM18 pun untuk 5 jam. Saya menerima penegasan itu walaupun saya tahu jika meletakkan kereta di Taman KLCC, kemungkinan besar kami hanya akan dicaj RM5.50 sahaja untuk 3-4 jam.

Semasa menaiki LRT Aliran Kelana Jaya dari KLCC ke Ampang Park, saya masih memikirkan mengenai kos tersebut. Bukan kerana tiada wang yang mencukupi, tetapi kerana jumlah yang banyak hanya untuk meletakkan kereta, bagi saya tidak berbaloi walaupun saya terpaksa membayarnya. Apabila sampai di tempat letak kereta Ampang Park, ibu saya dengan segera menghulurkan RM20 kepada saya. Saya cuba menolak kerana saya sendiri sudahpun menyediakan RM20, tetapi kerana ibu saya menyuruh juga membayar dengan wang yang diberikan olehnya, saya akur. Saya pun berjalan ke arah kaunter pembayaran. Setelah sampai, juruwang di kaunter tersebut terus mengimbas kad parking saya. Pada masa yang sama, saya ternampak di sebelah kaunter, ada tertulis jumlah kos untuk meletakkan kereta di Ampang Park, amat terkejut saya kerana jumlah yang tertera di skrin mesin juruwang ialah RM3.30!

Disini, kita dapat lihat bahawa amat merugikan jika kita risau tidak tentu pasal. Apa yang boleh kita lakukan ialah bertenang dan cuba menerima kenyataan. Dalam situasi saya semalam, apa yang boleh saya lakukan ialah bertenang, dan sememangnya ibu saya sudah awal-awal lagi meminta saya tidak terlalu memikirkan mengenai caj meletak kereta. Saya sememangnya suka berfikir secara terperinci, dan itulah agaknya yang selalu membuatkan saya risau akan sesuatu. Paling utama ialah, sentiasa menerima keadaan sekiranya memang benar bayaran meletak kereta adalah RM18 untuk 5 jam. Namun begitu, saya rasa lucu apabila mengingati peristiwa semalam dimana setelah hampir 50% masa saya di PC Fair dipenuhi dengan kerisauan, bayaran untuk meletakkan kereta di Ampang Park pada hari Ahad hanyalah RM3.30 untuk sekali masuk!

0 comments:

Post a Comment

My Instagram