Bagaimana Untuk Menjadi Pustakawan atau Pegawai Perpustakaan Yang Cemerlang?

Tugas menjadi Pustakawan atau Pegawai Perpustakaan adalah mengurus maklumat, mendapatkan maklumat, dan membuatkan sesuatu maklumat itu tersedia untuk digunakan oleh para pengguna perpustakaan. Tugas-tugas ini bukanlah tugasan yang mudah, tetapi dengan komitmen, profesionalisme, dan kehendak yang kuat, memungkinkan seseorang Pustakawan atau Pegawai Perpustakaan itu menjadi cemerlang, seterusnya menjadikan perpustakaan atau pusat sumber pengetahuan tempat seseorang Pustakawan atau Pegawai Perpustakaan bekerja itu turut berjaya.Bagaimana Untuk Menjadi Pustakawan atau Pegawai Perpustakaan yang cemerlang? Terdapat banyak kaedah atau cara yang boleh digunakan untuk membuatkan seseorang Pustakawan atau Pegawai Perpustakaan berjaya di dalam terma menyediakan semua perkhidmatan yang ditawarkan oleh sesebuah perpustakaan atau pusat sumber maklumat. Kaedah-kaedah yang dikenalpasti ialah :
1. Sikap yang positif
Sikap yang positif di kalangan Pustakawan atau Pegawai Perpustakaan adalah kunci utama kejayaan operasi sesebuah perpustakaan atau pusat sumber pengetahuan. Ini bermakna, seseoran Pustakawan atau Pegawai Perpustakaan mestilah sentiasa positif di dalam menghadapi dugaan dalam kerjayanya. Kesabaran dalam melayani setiap permohonan untuk mendapatkan maklumat adalah penting kerana ia akan menjadikan pencarian maklumat menjadi berjaya dan memenuhi kehendak pengguna perpustakaan atau pusat sumber pengetahuan. Tanpa sikap yang positif, semua kerja tidak akan mencapai status sebuah kerja yang cemerlang, tetapi hanya akan menjadikannya caca merba sahaja. Sikap yang positif akan membias keluar dari tubuh badan melalui komunikasi dengan rakan sekerja dan para pengguna. Ia juga akan terbias melalui perlakuan dalam melakukan kerja-kerja seharian.
2. Patron
Patron memainkan peranan penting di dalam pembangunan sesebuah perpustakaan atau pusat sumber pengetahuan. Masakan tidak, jika kurangnya patron yang menggunakan semua perkhidmatan yang ditawarkan, sesebuah perpustakaan atau pusat sumber maklumat tidak boleh berkembang dengan lebih pesat. Pembangunan koleksi akan terbantut sekiranya tidak mendapat mendapat maklumbalas daripada patron. Jadi, seseorang Pustakawan atau Pegawai Perpustakaan mestilah mengutamakan keperluan maklumat patron. Sememangnya fungsi sesebuah perpustakaan atau pusat sumber maklumat akan turut terjejas sekiranya tiada kunjungan patron. Memahami psikologi patron juga merupakan satu kelebihan kepada seseorang Pustakawan atau Pegawai Perpustakaan.
3. Keadaan Sekeliling
Keadaan sekeliling sesebuah perpustakaan atau pusat sumber merupakan satu faktor yang boleh mempengaruhi kestabilan pekerjaan seseorang Pustakawan atau Pegawai Perpustakaan. Ini boleh dibuktikan dengan seseorang Pustakawan atau Pegawai Perpustakaan yang terpaksa membina sesebuah perpustakaan atau pusat sumber dengan bajet yang tidak mencukupi, ia merupakan satu cabaran yang cukup besar di dalam profesion seseorang Pustakawan atau Pegawai Perpustakaan. Kemungkinan juga prasara sesebuah perpustakaan atau pusat sumber pengetahuan yang kurang lengkap boleh mengganggu aktiviti menyediakan kemudahan dan perkhidmatan yang biasanya disediakan oleh sesebuah perpustakaan atau pusat sumber maklumat yang normal. Jadi, dengan adanya sikap yang positif dan penawaran perkhidmatan perpustakaan atau pusat sumber pengetahuan yang baik, maka masalah seperti keadaan sekeliling akan mudah untuk ditangani.
4. Empati
Empati adalah meletakkan diri seseorang Pustakawan atau Pegawai Perpustakaan di tempat orang lain. Meletakkan diri di tempat orang lain bermakna seseorang Pustakawan atau Pegawai Perpustakaan cuba menyelami keperluan maklumat seseorang patron. Berfikir di luar kotak pemikiran boleh membantu di dalam hal ini. Sementelahan seseorang Pustakawan atau Pegawai Perpustakaan bukanlah robot, mereka boleh merasai keperluan maklumat seseorang patron. Ia seakan berada satu tingkat di atas tingkat melakukan kerja rutin. Banyak perpustakaan besar telah menyediakan perkhidmatan meja perundingan dan meletakkan seorang Pustakawan atau Pegawai Perpustakaan profesional untuk melayani setiap keperluan maklumat patron yang melawat perpustakaan tersebut. Tujuannya adalah untuk mendengar, mengambil maklumat, mencanai maklumat, mencari maklumat dan akhirnya, menyediakan maklumat untuk diserahkan kepada patron yang meminta sesuatu maklumat itu. Secara dasarnya, menyediakan apa yang diminta adalah baik, tetapi menyelami keperluan maklumat patron dan menyediakan maklumat tambahan adalah yang lebih baik. Maka, setiap Pustakawan atau Pegawai Perpustakaan haruslah memiliki sifat empati terhadap patron.
5. Kebolehan mendengar
Dr Stephen Covey (penulis buku 7 Habit of Highly Effective People) ada menerangkan bahawa sesetengah orang hanya mendengar untuk menjawab soalan. Ini adalah baik kerana seseorang Pustakawan atau Pegawai Perpustakaan profesional sememangnya perlu mendengar dan meneliti setiap apa yang dikehendaki oleh patron. Tetapi menurut Dr Stephen Covey lagi, yang lebih baik daripada itu adalah mendengar untuk memahami! Mendengar sekadar untuk menjawab soalan adalah seperti burung kakak tua yang mengajuk apa yang seseorang Pustakawan atau Pegawai Perpustakaan katakan, tetapi mendengar untuk memahami adalah satu tingkat kerja mendengar yang terbaik kerana selain mendengar, seseorang Pustakawan atau Pegawai Perpustakaan juga sedaya upaya untuk memahami apa yang diperkatakan atau ditanya oleh seseorang patron. Dengan memahami, maka komunikasi antara seseorang Pustakawan atau Pegawai Perpustakaan dengan patron akan menjadi lebih jelas dan setiap permasalahan berbangkit akan mudah untuk diselesaikan. Fokus dalam mendengar dapat membantu dalam proses ini. Memahami patron juga akan membuatkannya tertarik untuk mengunjungi perpustakaan atau pusat sumber maklumat kerana sangka mereka, Pustakawan atau Pegawai Perpustakaan adalah profesional dan boleh membantu mereka menyelesaikan masalah pencarian maklumat yang dihadapi oleh mereka.
6. Pengajaran dan pembelajaran
Seseorang Pustakawan atau Pegawai Perpustakaan perlu juga mendalami ilmu mengajar dan pembelajaran. Proses mengajar dan diajar akan memantapkan lagi ilmu keperpustakawanan seseorang Pustakawan atau Pegawai Perpustakaan kerana dengan mengajar apa yang diketahui ia akan menjadi satu perlakuan yang diingati. Sementelahan membaca dan memahami sahaja tidak mencukupi, Pustakawan atau Pegawai Perpustakaan perlu juga mempraktikkan apa yang dikatakannya kepada orang lain. Mengajar patron mengenai keperluan maklumat dan perkhidmatan-perkhidmatan yang ditawarkan oleh sesebuah perpustakaan atau pusat sumber akan menjadikan seseorang Pustakawan atau Pegawai Perpustakaan ingat dengan tetap apa yang diajarkannya. Dengan itu, proses pembelajaran akan berlaku secara terus-terusan dan ini akan meningkatkan lagi kredibiliti seseorang Pustakawan atau Pegawai Perpustakaan seterusnya menaikkan lagi perpustakaan atau pusat sumber maklumat tersebut.
Banyak lagi kaedah yang boleh dipraktikkan oleh seseorang Pustakawan atau Pegawai Perpustakaan demi untuk menjadinya seorang pengurus maklumat yang lebih baik dan cemerlang. Profesion Pustakawan atau Pegawai Perpustakaan bukanlah sekadar duduk di kaunter dan melakukan kerja-kerja rutin, tetapi lebih dari itu, mereka perlu menjadi sahabat kepada patron dan sentiasa membantu dalam pencarian maklumat yang diperlukan, setiap masa.
Artikel yang ditulis oleh saya untuk bidang keperpustakawanan.

0 comments:

Post a Comment

My Instagram