Perpustakaan Khusus Sebagai Pusat Repositori Bahan Maklumat Bentuk Digital

Peranan perpustakaan khusus di dalam membantu proses pembangunan modal insan dan pembangunan sesebuah organisasi secara amnya tidak dapat dinafikan. Sedangkan kebanyakan organisasi besar telah mendirikan perpustakaan khusus mereka sendiri dengan dikawalselia oleh barisan Pustakawan Profesional yang terlatih dan berpengalaman, ia harus diperluaskan kepada organisasi yang berkapasiti sederhana. Apatah lagi perpustakaan moden pada hari ini banyak mengadaptasi teknologi komunikasi maklumat sebagai platform operasi yang dipercayai, ia banyak membantu dalam proses respositori bahan maklumat kepada bentuk digital.
Walaupun keupayaan perpustakaan untuk menghasilkan e-buku adalah terhad kerana tertakluk kepada akta-akta tertentu, bahan-bahan perpustakaan yang lain seperti bahan terbitan dalaman masih boleh disimpan di dalam bentuk digital, bagi memudahkan akses kepada maklumat terkini yang dapat member manfaat kepada pengguna. Pendigitalan imej, tesis, surat berita, brosur, peta, laporan tahunan, dan sebagainya, adalah dituntut sebagai salah satu alternatif pengaksesan maklumat kerana ianya lebih mudah dan pantas dengan hanya menekan butang papan kekunci di komputer tanpa perlu mencarinya secara fizikal di perpustakaan. Jikalau ini mengganggu proses menyemarakkan bilangan pengunjung perpustakaan, akses kepada bahan-bahan yang telah diolah kepada bentuk digital masih lagi boleh difokuskan akses kepada bahan-bahan tersebut hanya di dalam sesebuah perpustakaan sahaja. Secara tidak langsung, dengan kemudahan sebegini, makin ramailah bilangan pelawat sesebuah perpustakaan kerana akses kepada bahan maklumat telah tersedia di dalam bentuk digital.
Proses repositori bahan maklumat di dalam bentuk digital juga boleh menggiatkan lagi program Pengurusan Pengetahuan (Knowledge Management) di sesebuah organisasi. Kerana dengan adanya index bahan maklumat bentuk digital di dalam pangkalan data sesebuah perpustakaan, maka pengetahuan dapat diuruskan dengan lebih efektif dan tersusun. Pengurus Pengetahuan (Knowledge Manager) sememangnya boleh berganding bahu dengan Pengurus Maklumat/Pustakawan (Information Manager/Librarian) dalam merealisasikan projek ini. Bahan-bahan maklumat berbentuk digital yang telah dikatalog akan diakses oleh Pengurus Pengetahuan untuk disebarkan kepada semua pekerja di sesebuah organisasi sebagai satu bentuk kesedaran semasa terhadap sesuatu perkara. Pengurus Pengetahuan juga boleh jadi juga seorang Pustakawan Profesional kerana profesyen Pustakawan kini bukan hanya sebagai Pengurus Maklumat, tetapi juga sebagai Penyebar Pengetahuan.
Perpustakaan sebagai pusat repositori bahan maklumat bentuk digital bukanlah sebagai satu tindak-tanduk persaingan dengan bahan-bahan konvensional yang lain, tetapi sebagai alternatif kepada bahan-bahan tersebut kerana kepantasan untuk diakses bagi membolehkan proses mencanai ilmu pengetahuan yang lebih pantas lagi perlu diambilkira. Bahan-bahan konvensional yang menjadi anggota fizikal sesebuah perpustakaan masih lagi relevan dan boleh digunapakai sebagai sumber maklumat (source of information) paling utama, bukan sebagai penyelamat kepada industri buku, tetapi ianya adalah bahan-bahan maklumat fizikal yang terjamin isi kandungannya selama mana ia masih relevan dengan masa. Pengguna perpustakaan boleh memilih bahan maklumat yang mereka sukai dan relevan dengan keperluan maklumat mereka.

Sebagai keperluan langkah untuk menuju ke arah perpustakaan digital, atau pendigitalan perpustakaan (separa digital), adaptasi dan penggunaan teknologi maklumat dalam penyimpanan dan pengaksesan bahan digital mestilah seiring pembangunan koleksi fizikal sesebuah perpustakaan. Bukan sekadar prasarana teknologi maklumat sahaja yang harus diambil kira, pembangunan isi kandungan dan jenis bahan digital atau yang didigitalkan mestilah dibangunkan secara proaktif dengan mengambilkira keperluan pengguna. Kemunculan e-buku, pangkalan data atas talian, jurnal elektronik dan sebagainya yang boleh dilanggan secara tahunan telah menggiatkan proses ini. Peranan perpustakaan khusus pula ialah dalam menyediakan bahan bentuk digital seperti klip akhbar, buletin elektronik, brosur elektronik, tesis para pekerja yang menyambung pengajian ke peringkat ijazah pertama, pasca ijazah dan ijazah doktor falsafah dan beberapa bahan maklumat yang telah ditukar bentuk kepada digital. Ia mestilah sejajar dengan keperluan pengguna perpustakaan. Paling penting juga, perkhidmatan menyediakan bahan-bahan bentuk digital ini harus dihebahkan kepada semua kakitangan sesebuah organisasi bagi meningkatkan akses kepada bahan-bahan tersebut oleh mereka.
Dalam hal ini, peningkatan dalam sumber manusia sesebuah perpustakaan dan bajet kewangan serta pembangunan prasarana teknologi maklumat mestilah diambilkira. Ia mungkin menjadi salah satu daripada keperluan pengaksesan maklumat yang paling penting pada masa akan datang, tetapi langkah ini boleh dipergiatkan bermula dari sekarang sejajar dengan keperluan masa dan keperluan pengguna. Ia adalah alternatif kepada pencarian maklumat yang lebih pantas, mudah dan berkesan tanpa melupakan sumbangan bahan-bahan konvensional yang lain.

Artikel yang ditulis oleh saya untuk bidang Sains Perpustakaan dan Maklumat

0 comments:

Post a Comment

My Instagram