Apabila menumpukan sepenuh perhatian pada sesuatu kerja atau tugasan, pasti kita akan terlupa akan kerja atau tugasan yang lain. Begitulah halnya dengan saya! Setelah dilantik untuk mengetuai sebuah jabatan di syarikat tempat saya bekerja, saya telah banyak terlupa mengenai fotografi. Majalah Digital Camera Magazine yang saya beli setiap bulan pun saya telah terlupa untuk membelinya pada bulan ini, sebaliknya isteri saya yang membelikan untuk saya pada hujung minggu yang lepas. Jika di tempat kerja lama saya suka membawa kamera DSLR ke pejabat, kini kamera tersebut saya tinggalkan sahaja di rumah. Sudah beberapa hari saya tidak menyentuh kamera kerana terlalu menumpukan perhatian pada kerja yang memberikan saya lebih banyak pendapatan. Forum-forum fotografi pun sudah jarang sangat saya kunjungi. Kadang-kadang hanya masuk untuk melihat tanpa sempat untuk menulis apa-apa.
Sememangnya, itulah sepatutnya yang dilakukan kerana tanggungjawab dalam menyelesaikan kerja yang memberikan kita gaji mestilah diutamakan daripada kerja-kerja sambilan yang kadang-kadang ada, selalunya tidak ada. Jika kita mengatakan bahawa kita lebih meminati fotografi lebih daripada kerja, mengapa kita terus bekerja? Ya, kerana dengan kerja, kita akan memperolehi gaji secara konsisten dan tetap setiap bulan. Jadi, pekerjaan yang mana memberikan kita gaji yang lebih? Tentulah dari pekerjaan sepenuh masa yang kita lakukan, maka lebihkanlah ia melebihi kerja separuh masa yang 'kadang-kadang ada, selalu tak ada' itu.
Dengan menumpukan perhatian kepada kerja seharian dan mengurangkan aktiviti berforum pada waktu kerja, sedikit sebanyak rezeki yang kita terima itu halal dan selayaknya diberikan kepada anak dan isteri termasuk ibu bapa kita secara tetap setiap bulan, tetapi jika rezeki gaji yang kita perolehi daripada aktiviti ‘mengular’, minum-minum, berforum, bagaimanakah kita hendak mendifinisikan gaji kita yang diterima setiap bulan itu sebagai gaji hasil daripada pekerjaan sebenar kita? Sememangnya kita ini suka kepada hiburan, kesenangan, ketenangan semasa bertugas, tidak mahu kerja berat, kerana kita punyai sikap yang sememangnya sebegitu. Oleh sebab itu, kebanyakan forum dipenuhi oleh ribuan posting yang mana jika kita melihat pada jam penghantaran posting tersebut, jelas menunjukkan ianya diposkan pada waktu bekerja. Jarang sekali masa yang ditunjukkan ialah pada waktu rehat atau pada waktu lepas pejabat.
Justeru (saya berpesan kepada diri sendiri dan sahabat semua), marilah kita menilai kembali kerja kita, adakah ia bertaraf antarabangsa atau sekadar bertaraf biasa. Sebenarnya, jika kita menumpukan perhatian pada kerja kita selama 8 atau 9 jam itu, tentunya kita dapat menyelesaikan mungkin sehingga 10 kerja sehari, berbanding menggunakan kebanyakan masa untuk berforum dan merehat-rehatkan diri tanpa mengusik kerja harian sehingga tiada satu kerja pun yang mampu kita siapkan. Jadi, marilah kita sama-sama menguruskan masa dengan lebih baik supaya bukan sekadar kita mampu menyiapkan banyak kerja, tetapi juga keberkatan daripada pekerjaan kita itu terserlah dengan lahirnya anak-anak yang cemerlang di dalam pelajaran, rumahtangga yang bahagia, dan cukup segala perbelanjaan selama sebulan sebelum mendapat gaji yang baru, insya Allah.
0 comments:
Post a Comment