Pagi ini di Kuala Lumpur, trafik boleh diandaikan sebagai teruk kerana jika kita mendengar radio KLfm atau Sinar.fm, rata-rata laporan kesesakan trafik menjurus kepada berita kemalangan di sana sini. Sementelahan awal pagi tadi hujan turun dengan lebat di kebanyakan kawasan di Kuala Lumpur dan Lembah Kelang, keadaan jalan menjadi basah sebelum terbitnya matahari yang boleh mengeringkan kebasahan tersebut, lalu banyak kemalangan berlaku sehingga saya ada mendengar mengenai kejadian kereta terbalik dan ada yang jatuh gaung. Tragedi-tragedi seperti itu merupakan takdir tetapi kadangkala ia mungkin boleh dielakkan.
Saya juga lewat sampai ke tempat kerja namun masih dalam masa selamat iaitu sebelum 9:00 pagi. Ini disebabkan oleh kesesakan lalulintas di merata-rata tempat sehinggakan apabila saya sampai di susur keluar Bandar Tun Razak/Bandar Tasik Selatan, masa yang diambil untuk melalui susur keluar sepanjang lebih kurang 200 meter itu mengambil masa sehingga 25 minit! Pada kebiasaannya saya akan sampai di pejabat pada pukul 8:20 tetapi hari ini terlewat sehingga 8:55. Kelewatan ini menyebabkan saya terpaksa meletakkan kereta di tempat yang sesak juga, bertindih-tindih dengan kereta lain seakan pusat jualan kereta terpakai sahaja susunannya!
Kadang-kadang, perancangan masa bukanlah setakat keluar awal sahaja, tetapi juga kita perlu melihat kepada keadaan cuaca yang tidak menentu. Memang nyenyak tidur jika hujan turun pada awal subuh, hanya dikejutkan dengan azan subuh yang berkumandang, tetapi hujan yang turun itu juga adalah stimulus kepada keadaan trafik yang sesak pada sebelah paginya. Jadi, jika kita dapati bahawa hujan turun dengan lebatnya pada awal subuh, bersiap sedialah untuk keluar awal, berkemungkinan besar keadaan trafik pada sebelah pagi akan turut terjejas. Dan, kita juga perlu mempersiapkan mental yang gagah supaya kita tidak ditekan oleh keperluan untuk datang awal ke pejabat. Janganlah hanya kerana kita hendak sampai awal walaupun sudah terlewat, sehingga tidak dapat menumpukan perhatian kepada pemanduan akibat daripada terlalu memikirkan mengenai ‘takut lewat’, takut-takut kalau bahaya yang mungkin boleh menimpa. Utamakan nyawa dan keselamatan walaupun sedikit terlewat. Biar lewat, asalkan selamat. Lagipun kita masih boleh memberi justifikasi kelewatan tersebut kepada ketua kita, mereka pasti faham.
Jadi, lihatlah kepada keadaan cuaca dalam merancang perjalanan kita. Hidup ini perlu dihargai, maka jalanilah ia dengan sederhana,jika keadaan jalanraya basah dan sesak, elakkanlah daripada memandu terlalu laju kerana ingin sangat menjaga reputasi, kerana Allah telah merancang apa yang paling terbaik untuk kita. Redhalah jika keadaan menyebabkan kita terlewat, kerana mungkin itu yang terbaik untuk kita.
0 comments:
Post a Comment