Cerianya! Hari Dress Down..

Ofis saya ni pada setiap hari Jumaat, adalah hari dress down! Apa maksudnya dress down tu? Dress down adalah setiap staf tidak perlu memakai pakaian formal atau korporat seperti hari-hari yang lain. Biasalah, pada hari Isnin pakai baju korporat, hari Selasa pakai baju formal (kemeja lengan panjang), hari Rabu baju korporat semula, hari Khamis baju batik, hari Jumaat pula, DRESS DOWN!

Pada hari ini, semua orang berpakaian tidak formal. Semua orang tidak memakai kemeja. Jika ada yang ingin berpakaian formal, mereka mesti memakai baju melayu penuh dengan sampin dan songkok. Belum lagi saya lihat ada yang ingin memakai pakaian kebangsaan itu. Ramai sahaja yang memakai seluar jeans, berseluar slack tapi ketat dan pelbagai pakaian santai. Tetapi saya...? tetap memakai seluar slack dan kemeja t berkolar Charles Jourdan yang beli semasa sale (murah je, RM33 je). Saya tidak mahu memakai jeans kerana pada setiap hari Jumaat, sebab ada department's meeting. Kenapa saya tidak memakai seluar jeans?

Kalau ada mesyuarat, paling kurang pun kenalah pakai seluar slack. Saya cuba mengelak daripada memakai seluar jeans kerana saya tahu persepsi orang yang sentiasa mahu 'bercakap'..Kita kena menjaga persepsi orang lain terhadap kita, supaya kita tidak dikata belakang-belakang, dan supaya orang tidak memandang serong kepada kita. Walaupun pada hari Jumaat ini, semua staff dibenarkan berpakaian santai tetapi yang sesuai untuk ke pejabat, bagi saya, ada motifnya mengapa kebenaran seperti ini diberikan. Mungkin..mungkin ye, mungkin juga pihak majikan membenarkan pakaian santai kerana sudah 4 hari (sebelumnya), semua staff telah berpenat lelah memakai pakaian formal atau korporat. Biarlah pada hari Jumaat, semua orang menghabiskan minggu dengan ceria.

Tetapi awas, hari ini juga boleh memberi kesempatan kepada semua orang untuk menilai siapa diri kita. Kerana orang lain boleh menilai kita dari segi pakaian yang kita pakai. Contohnya, jika setiap hari dari hari Isnin sehingga Jumaat, kita memakai pakaian formal atau korporat secara bergilir-gilir, tetapi ada seorang sahabat ternampak kita di Kuala Lumpur pada hari Sabtu atau Ahad dengan kita berpakaian santai seperti seluar kargo berpoket banyak, selipar Crocs, baju lusuh dari bundle, rambut pula disisir ala Mochigan, apa pandangan mereka? Tentu pada mulanya mereka terkejut, "eh, ini bos aku ke? Kenapa dia pakai macam ni?"..Kita pula memandu kereta yang diubahsuai secara ekstensif, "eh, kenapa bos aku ni drive kereta modified ni? Selalu dia drive Waja..". Lihatlah, betapa susahnya menjadi diri kita sendiri, kerana terpaksa menjaga persepsi orang terhadap kita.

Bilalah masanya masyarakat akan memandang kepada hasil kerja sahaja? Di dalam siri The Apprentice musim kedua, saya ada lihat (tak ingat nama calon Apprentice itu), seorang pakar teknologi maklumat, tetapi gaya berpakaiannya adalah seperti seorang penyanyi, malahan beliau pandai bermain gitar! Di dalam dunia korporat ala Donald Trump, the way you talk, the way you walk, the way you dress diambil kira! Kita tidak boleh memakai selipar Jepun ke tempat kerja walaupun kita adalah star semasa menghasilkan kerja. Itu pendekaran sekarang. Ramai orang lebih suka jika dapat menghasilkan kerja di rumah dan dihantar ke pejabat melalui e-mail sahaja dan dengan berpakaian tidur sahaja, tetapi zaman itu belum tiba lagi.

Apapun, setiap arahan terdapat justifikasi di dalamnya yang semua orang kena berfikir apakah dia. Tidak ada arahan yang datang dengan 'saja-saja' sahaja. Berfikirlah dengan tenang mengapa setiap arahan itu diberikan kepada semua staf. Adakah ia satu arahan yang ikhlas, atau ada udang di sebalik mee? Dalam menjalani setiap langkah di dalam kehidupan, otak kita kenalah sentiasa berfikir. Sedikit kekhuatiran adalah penting juga, jangan jadi terlalu lurus bendul.

0 comments:

Post a Comment

My Instagram