Kemalangan Jalanraya Yang Melibatkan Motosikal

Semalam abang ipar kepada jiran telah menghadapi musibah iaitu terlibat dalam kemalangan jalanraya. Beliau yang menunggang motosikal telah dilanggar lari oleh sebuah kereta yang sememangnya tidak tahu siapa pemiliknya di Kuala Lumpur. Mangsa yang dilanggar telah dibiarkan oleh kereta yang melanggarnya itu di tengah jalan dan terus melarikan diri. Itu yang diceritakan oleh jiran saya itu. Kisah malang itu tersebar ke pengetahuan jiran saya kerana kakaknya (isteri kepada abang iparnya) telah menelefon beliau untuk meminta pertolongan memindahkan motosikal itu ke tepi jalan. Amat malang sekali, dalam kesibukan warga kota untuk ke tempat kerja, tiada seorang pun yang mahu berhenti untuk menghulurkan pertolongan kepada mangsa, sebaliknya mangsa yang telah berbuih mulutnya terpaksa mengeluarkan telefon bimbit lalu menelefon isterinya di rumah. Pada waktu petang, saya dan isteri saya diberitahu bahawa keadaan suami kakak jiran saya itu agak separuh kritikal kerana keadaan paru-parunya yang tercedera menyebabkan oksigen terpaksa dimasukkan ke dalam badan dan mangsa mesti dikejutkan setiap satu jam bagi memastikan beliau tidak sesak nafas.

Kisah malang itu seharusnya memberikan pengajaran kepada kita untuk sentiasa saling menghargai penunggang motosikal. Walaupun kebanyakan penunggung motosikal yang rata-rata berusia muda belia mengunggang dalam keadaan berbahaya, namun terdapat sebilangan kecil yang penunggang yang lebih senior, menunggang dalam keadaan berhati-hati seperti abang ipar jiran saya itu. Penunggang-penunggang seperti ini sentiasa menunggang dalam keadaan yang perlahan dan sentiasa menunggang di bahu jalan, tetapi tidak semena-mena dilanggar oleh kenderaan yang lebih besar dan kenderaan tersebut tidak mahu bertanggungjawab. Marilah kita berdoa agar kita tidak terlibat dalam pelanggaran seperti itu kerana terlalu kasihan kepada penunggang-penunggang motosikal yang sentiasa terdedah kepada kemalangan jalanraya.

Walaupun terdapat penunggang motosikal yang berkepala batu yang sentiasa menunggang motosikal mereka di tengah-tengah jalan, kita sebagai pemandu kereta wajar memberikan peringatan kepada mereka dengan membunyikan hon walaupun sekali untuk memberitahu mereka supaya menunggang di tepi jalan. Kebanyakan dari mereka pasti akan ke bahu jalan bagi memberi jalan kepada pemandu kereta memandu di lorong yang sepatutnya. Kerjasama ini bagi menjamin keselamatan jalanraya yang menjadi tangunggjawab bersama. Dengan menjaga keselamatan jalanraya, sudah pastilah kemalangan dapat dielakkan. Kerajaan dapat menjimatkan wang yang banyak kerana jumlah kemalangan jalanraya dapat dikurangkan dengan adanya kesedaran menang-menang di antara penunggang motosikal dan pemandu kenderaan yang lebih besar daripada mereka.

Kita doakan agar abang ipar kepada jiran saya itu berada dalam keadaan stabil dan kecederaan yang dialami tidaklah serius dan boleh sembuh dengan segera, insya Allah. Kerana kakak kepada jiran saya itu hanyalah seorang suri rumah yang tidak mempunyai pendapatan langsung, hanya berharap kepada pendapatan suami beliau. Semoga kita sentiasa selamat di jalanraya dan dapat membantu orang lain terutamanya penunggang motosikal untuk sama-sama selamat semasa menggunakan jalanraya, insya Allah! Jalanraya milik bersama, ia bukanlah tempat untuk berlumba (laju).

0 comments:

Post a Comment

My Instagram