Sebenarnya, salah satu isu dalam kehidupan seseorang pekerja yang bekerja di mana-mana pun ialah MALAS BEKERJA. Tempoh masa kemalasan itu berbeza mengikut situasi.Malas bekerja kadang-kadang datang sekali sekala, kadang-kadang datang sehari, dan kadang-kadang, ia boleh membawa ke berbulan-bulan. Dalam menangani masalah malas bekerja ini, bukan sekadar tenaga diperlukan untuk mengubah daripada malas kepada rajin, tetapi juga minda mestilah kuat jika ingin mengelakkan diri daripada menjadi malas.
Malas bekerja tidak boleh dilayan sangat. Kalau dilayan selalu, maka kita akan menjadi seronok untuk bermalas-malas di tempat kerja. Memanglah seronok jika kerja yang sepatutnya disiapkan pada satu hari boleh dibuat dalam masa dua hingga tiga hari kerana malas bekerja sehingga sanggup menangguhkan kerja yang diamanahkan. Walhal, jika menangguhkan kerja, ia akan member kesan kepada diri sendiri, rakan sekerja, ketua jabatan dan mungkin kepada organisasi tersebut secara amnya. Sesuatu projek akan sangkut sekiranya salah seorang daripada ahli pembikin projek berasa malas untuk melakukan kerja sub projek sehingga projek tersebut terbengkalai atau lambat siap. Itu kalau dikira satu entiti di dalam projek tersebut, bagaimana pula sekiranya terdapat lima atau enam orang yang berasa malas untuk menyiapkan kerja mereka dalam satu masa?
Malas adalah sesuatu yang menyeronokkan kerana kita datang ke pejabat untuk duduk dan rehat daripada melakukan sebarang pekerjaan atau tugasan, tetapi kesan daripada itu amatlah besar, seperti yang diceritakan di atas. Oleh sebab itu, bagi mengelakkan kesan yang lebih parah, kemalasan di tempat kerja mestilah ditangani dengan segera. Walaupun terdapat banyak kaedah yang boleh digunakan untuk menanganinya, kebanyakan saranan yang diberikan adalah bersifat luaran. Ia masih boleh dijalankan, tetapi kebanyakannya hanyalah bersifat sementara lantaran daripada keterpaksaan untuk merajinkan diri demi kerja. Ia tidak boleh kekal lama. Kita mesti mengambil langkah yang perlu untuk menangani masalah ini dengan memperbaiki sikap kemalasan daripada dalam diri kita, bukannya hanya sekadar luaran semata-mata.
Di dalam diri kita terdapat seketul daging yang akan menentukan siapa kita dan bagaimana sikap kita. Daging yang disebutkan di dalam Al Quran itu ialah hati. Ia laksana pemproses di dalam sesebuah komputer. Jika baik hati kita, maka baiklah keseluruhan perlakuan dan sifat kita. Ia dilihat secara lahiriah, bukannya hati secara fizikal iaitu melakukan tugas tertentu di dalam badan. Ia melibatkan usaha kita dengan menggunakan hati yang kita miliki. Kita mesti menguatkan hati kita agar seluruh daya usaha kita menjurus kepada kebaikan dan kemanfaatan. Lantaran dari itu, kita mesti membersihkan hati kita daripada sikap-sikap negatif atau mazmumah. Sikap-sikap negatif ini haruslah difikirkan sedalam-dalamnya samada ia memberi manfaat kepada kita atau tidak. Pada hakikatnya, sikap dan sifat negatif sememangnya tidak memberi apa-apa makna kepada kita, kalaupun ia memberi makna yang baik, ia tidak akan kekal lama kerana di penghujung jalan, ia memberi kesusahan pula kepada kita.
Hati kita perlu dibersihkan dan dikuatkan dengan sifat-sifat yang baik dan positif. Dengan menggunakan akal fikiran yang padu, marilah kita fikirkan apa kebaikannya bermalas-malas. Adakah ia baik untuk perilaku kita? Adakah ia baik kepada kesihatan luaran kita? Adakah ia bagus untuk penampilan kita? Adakah ia memberi kesan dalam pembentukan karektor kita? Sesungguhnya jawapan kepada semua soalan di atas ialah TIDAK! Ia tidak memberi kesan yang baik kepada karektor, penampilan bahkan ia memberikan kesan yang hebat kepada kesihatan kita. Lawan kepada malas ialah aktif. Apa yang akan terjadi sekiranya kita aktif di dalam pekerjaan kita? Sudah tentu ia akan memberi kesan kepada tubuh badan kita, perilaku kita, penampilan kita dan paling penting ialah imej kita menjadi lebih baik akibat daripada karektor kita yang aktif. Bukan setakat kita aktif mengejar bola dalam permainan bolasepak, tetapi juga aktif dalam pekerjaan kita. Aktif bukan setakat melakukan kerja di dalam ruang lingkup waktu yang ditetapkan, tetapi mengambil inisiatif untuk memulakan sesuatu projek yang bernilai, memberikan pendapat yang boleh membantu, dan bersikap positif dalam segala hal. Ia akan memberi kesan yang baik untuk jangka masa pendek dan jangka masa panjang. Imej kita akan membantu mencantikkan resume kita!
Ingatlah, dalam mengubati penyakit malas ini ada banyak kaedah yang kita boleh jalankan. Tetapi yang paling utama ialah hati kita perlu diperbaiki terlebih dahulu. Ingatlah bahawa sekiranya kita malas bekerja, di luar sana terdapat beratus-ratus orang lagi yang inginkan tempat kita. Mereka sentiasa mencari jalan untuk menggantikan kita. Walaupun kita rasa perkara ini remeh, siapalah yang mahu mengambil alih tempat kita di dalam sesebuah organisasi, tetapi cuba fikirkan jika kita di luar organisasi tersebut, tentu sahaja kita juga inginkan tempat yang kita tidak duduki itu. Kita mahukan kerja kerana di sanalah kita boleh mendapat gaji tetap setiap bulan. Kita juga ingin mencantikkan resume kita. Kita juga inginkan pengalaman yang sama dengan menduduki tempat tersebut. Sementelahan kita sudah berada di tempat itu, bekerjalah dengan rajin di samping memulakan inisiatif sesuatu projek supaya kita mendapat pengalaman yang berguna ketika menduduki kerusi kerjaya kita itu. Bersyukurlah dan sentiasa berikan yang terbaik dalam kerjaya kita kerana Allah telah memberi kita rezeki untuk menduduki kerusi kerjaya kita itu. Sentiasalah fikirkan hal ini kerana jika tidak, kita tidak akan mensyukuri pemberian Allah dan tidak menjalankan amanah yang telah diletakkan di bahu kita. Orang lain susah hendak mencari kerja, kita yang mempunyai pekerjaan ini mahu melepaskan kerjaya kita dengan kemalasan kita? Tepuk dada, tanyalah selera..
0 comments:
Post a Comment