Kerja oh Kerja..

Hujung-hujung minggu begini, terasa letih juga setelah mengharungi seminggu yang penuh dengan kesibukan. Apatah lagi menghadapi kesesakan lalulintas setiap hari, menambahkan kepedihan dalam luka yang dialami. Saya sentuh sedikit mengenai keadaan ini, semasa pembukaan Lebuhraya Duke, tidak banyak kenderaan yang ingin melaluinya. Bahkan ramai yang memikirkan bayaran tol sebanyak RM2 yang akan dikenakan sekiranya ingin menggunakan lebuhraya tersebut. Saya telah menggunakan lebuhraya tersebut sejak dari pembukaannya kerana berpendapat bahawa apalah sangat RM2 jika dibandingkan dengan kecepatan masa yang boleh dicapai sekiranya menggunakan lebuhraya tersebut. Tetapi kini, ramai pula yang sudah mulai memikirkan mengenai hal yang saya fikirkan, lantas lebuhraya itu kini dipenuhi kenderaan. Ramai yang bekerja di Petaling Jaya tetapi tinggal di kawasan sebelah sini.

Berbalik kepada cerita kepenatan pada hujung minggu, ia seakan biasa saja bagi semua pekerja seperti saya. Semua orang menghadapi keadaan yang sama sekiranya bekerja di kotaraya Kuala Lumpur. Menghadapi kesesakan lalulintas setiap pagi, bekerja dibawah tekanan, menyiapkan beberapa projek dalam seminggu atau meneruskan projek-projek yang sedang berjalan, menyelesaikan kerja-kerja rutin, pergi dan balik kerja, meneruskan kerja-kerja fotografi pula di rumah, melayan anak dan isteri, semua itu harus dilalui oleh seorang lelaki bekerjaya seperti saya. Malahan, ia adalah satu trend baru bagi mana-mana individu bekerjaya.

Hujung minggu merupakan saat yang paling bahagia kerana kita dapat merehatkan badan yang keletihan setelah penat bekerja sepanjang minggu. Namun begitu, saya selalunya akan membawa keluarga bersiar-siar di sekitar Kuala Lumpur untuk merehatkan minda. Saya tidak memikirkan sangat mengenai kerja pada hujung minggu kerana gaya saya ialah, memikirkan mengenai kerja sewaktu di tempat kerja dan memikirkan mengenai hal bukan kerja semasa di luar waktu kerja. Itulah namanya ‘pengurusan masa yang bijak’ bagi sesetengah orang. Kita perlu memaksimakan penggunaan masa secara bijak untuk mendapatkan kepuasan dalam hidup. Terlalu mengejar kerja dan jawatan sehingga kehidupan berkeluarga terabai akan tidak akan memuaskan kita. Dan terlalu berehat dan menumpukan pada kehidupan berkeluarga pula akan menyebabkan kita ketinggalan pula di belakang, kecuali jika kita dapat melakukan kerja di rumah atau bekerja dari rumah. Semua elemen penting di dalam kehidupan kita perlu diseimbangkan dalam masa yang terhad, iaitu 24 jam sahaja.

Saya sudahpun bertukar tempat bekerja dan bertukar majikan bermula dari tarikah awal tahun yang baru berlalu kira-kira setengah bulan Januari ini. Bekerja di tempat baru ini, saya menyaksikan ramai para eksekutif di syarikat yang berjiran dengan lokasi pejabat saya yang terlalu mementingkan kerjaya. Memang benar, saya lihat mereka datang ke tempat kerja dengan membawa fail-fail yang tebal, ‘terpaksa’ memakai tali leher bermula dari rumah, ‘terpaksa’ berbual dalam Bahasa Inggeris walaupun sesama bangsa, itu adalah perkara biasa, namun, dengan membawa pulang kerja yang menimbun itu, adakah mereka akan berasa puas dengan kehidupan mereka? Pastinya mereka akan tidur lewat kerana menyiapkan kerja.

Pastinya juga mereka tiada masa yang mencukupi untuk melayan anak dan isteri (jika mereka sudah berkahwin) kerana hanya menumpukan perhatian kepada pekerjaan walaupun di rumah. Dan yang paling nyata, mereka tidak boleh membahagikan masa dengan betul kerana polisi syarikat yang memerlukan mereka untuk berbuat begitu. Pada kebiasaannya, dalam pengurusan korporat, ada menyebut mengenai seorang pekerja mesti membuat pelbagai tugas (multi tasking), dan tenaga mereka perlu dioptimumkan dalam mendapatkan keuntungan yang maksimum juga. Ini tidak dapat dinafikan kerana survival syarikat adalah lebih penting daripada sumber manusia. Bahkan, sumber manusia boleh saja ditukar ganti dengan sewenang-wenangnya dengan adanya pengamalan basis kontrak dalam penawaran kerjaya.

Itulah senario terkini dalam menghadapi alam pekerjaan. Sebenarnya, kita boleh saja memilih kerjaya apa yang kita idamkan, dengan syarat, kita mestilah kuat dalam menghadapi cabaran dan rintangan dalam menangani kerjaya yang kita pilih itu. Jika kita memilih untuk menjalankan perniagaan pula, ketekunan dan usaha kita perlulah dilipatgandakan dengan lebih lagi kerana itu adalah periuk nasi kita, jika tiada tugasan, bermakna kita tidak akan dapat apa-apa. Jika bekerja, jika kita bercuti sakit sehari pun, kita akan tetap dibayar gaji. Terlalu kuat bekerja pun tidak akan dapat mendatangkan kepuasan kepada kita. Berlakon pulang ke rumah lewat malam hanya kerana ingin dilihat sebagai seorang pekerja yang berdedikasi juga bulanlah kepuasan sebenar, malahan pasangan hidup atau anak-anak akan berasa kecewa kerana kita terlalu mementingkan kerjaya lebih daripada mereka. Dan pastinya, jika kita mementingkan kerjaya dengan cara yang tidak seimbang, mereka akan berasa jauh hati. Maka akan timbul masalah-masalah yang lain pula pada masa akan datang.

Jadi, dalam menghadapi kepenatan dan keletihan sepanjang minggu, kita hendaklah percaya bahawa jika kita menetapkan untuk pulang ke rumah pada waktu yang sepatutnya kita pulang kerja, kita patut pulang dan menetapkan di dalam hati bahawa itulah rezeki kita pada hari itu. Sesungguhnya yang memberikan kita rezeki bukanlah daripada hasil kerja kuat sehingga mengabaikan anak dan isteri, tetapi Allah sajalah yang memberikan kita rezeki setiap hari. Bekerja terlalu kuat boleh jadi bergantung kepada niat, dan niat yang baik iaitu bekerja untuk Allah Subhanawata’ala sahajalah yang akan membuatkan kita mampu untuk menyeimbangkan masa bekerja dan masa untuk bersama keluarga. Dan jika niat kita bekerja terlalu kuat semata-mata untuk mencari wang untuk anak dan isteri atau mengejar pangkat di depan mata, maka kita tetap akan juga mendapat ganjaran, tetapi akan kehilangan kasih saya kerana terlalu sayangkan kerja.

Ramai bijak pandai ada berkata, kita boleh saja menyayangi kerjaya kita, tetapi janganlah terlalu menyayangi tempat kerja kita, kerana pada satu hari yang gawat, ada kemungkinan juga kita tidak akan diperlukan lagi. Jadi, berusahalah untuk menjaga kerjaya.

0 comments:

Post a Comment

My Instagram