Hate Fan Page di Facebook semakin menjadi-jadi kini. Saya melihat senario ini agak parah kerana hanya kerana seorang dua yang menjadi pembenci, lantas mereka menarik orang lain untuk turut sama membenci individu yang dibenci di dalam Hate Fan Page tersebut. Orang lain yang pada mulanya tidak membuat dosa, terpaksa membuat dosa kerana terlalu seronok membenci orang lain. Tanpa mahu menyebut mana-mana nama dan mana-mana Hate Fan Page (kerana mereka semua dua kali lima sahaja antara satu sama lain), kerana saya tidak mahu terbabit dalam mengaibkan nama orang lain, perbuatan tersebut sebenarnya adalah bersifat kebudak-budakan (childish), membuang masa, membuang tenaga, membazirkan elektrik (untuk melayari dan menulis komen di dalam Hate Fan Page itu) dan paling utama, menambahkan dosa sahaja. Orang lain yang dijemput pula, hanya menjadi tukang sorak gaya pom pom girl walaupun mereka tidak tahu apa-apa.
Bayangkanlah, betapa bangganya si pemula Hate Fan Page itu kerana saban hari bertambah-tambah keahlian yang membenci seseorang, satu perbuatan yang amat disukai dan disokong oleh makhluk bernama syaitan, dan meminta orang lain untuk mengutuk dan mencerca seseorang, aduh, betapa sia-sianya perbuatan mereka itu. Buang masa sahaja!
Saya juga ada mendapat undangan untuk menyertai Hate Fan Page seperti itu, tetapi, nahhh, malas saya untuk menjadi budak-budak seperti itu. Dan setelah saya melihat komen-komen yang terpampang di dinding depan Hate Fan Page itu (kerana mereka open to public), saya dapati bahawa rata-rata ahli Hate Fan Page itu hanyalah budak-budak remaja sahaja, dengan bahasa yang digunakan ‘cukup indah’ untuk mengherdik individu yang dibenci itu, masing-masing menunjukkan pekung di dada sendiri dengan gaya bahasa yang cukup memalukan. Sungguh memalukan! Dan yang paling memilukan ialah, hampir 99% haters terdiri daripada budak-budak remaja bumiputera. Sungguh pilu kerana sepatutnya mereka menjalankan kajian sains, atau menulis buku, atau membantu secara sukarela di rumah-rumah orang tua dan rumah anak-anak yatim, tetapi mereka membuang masa pula melayari internet dan bukan setakat membuang masa sahaja, mereka menyertai pula Hate Fan Page yang tidak memberi satu faedah pun kepada mereka! Berikan satu faedah daripada menyertai Hate Fan Page seperti itu? Ada ke?
Ada pula masa mereka untuk mengherdik orang. Itu sajalah yang mereka tahu, membenci orang sahaja! Tiada unsur-unsur intelektual di dalam ruangan Hate Fan Page itu. Ke ada? Jika ada yang menegur mereka, dengan menggunakan darah muda mereka, mereka akan ban individu yang ingin membuat baik itu. Sah lah mereka itu melakukan kerja sia-sia! Adakah mereka melakukan kerja yang berguna?
Saya tidak pasti samada mereka yang melibatkan diri dalam Hate Fan Page itu boleh didakwa atau tidak, tetapi ingatlah, kalau tidak akan didakwa pun, hari ini kalau anda benci orang, esok lusa mungkin orang lain pula yang membenci anda. Ingatlah dunia ini umpama roda, sekarang anda di atas, mungkin juga satu hari nanti anda di bawah pula. Si pemula Hate Fan Page itu wajar bermuhasabah diri sebelum membenci orang lain, adakah anda terlalu sempurna untuk orang lain menyukai anda dan adakah individu yang anda benci itu 100% buruk lakunya? Ada ke seorang manusia di dunia ini yang 100% jahat atau teruk? Rasanya tidak mungkin ada. Mungkin 50% baik, dan 50% nakal tu ada, tidak mungkin 100% negatif sahaja. Bermuhasabah lah sebaiknya kerana sekali anda menjatuhkan seseorang, esok lusa sepuluh dua puluh kali pula anda akan dijatuhkan. Allah Maha Adil kepada setiap hambaNYA.
Ingatlah bahawa Hate Fan Page adalah sesuatu yang negatif, penyudahnya pasti negatif juga, tidak akan jadi positif! Marilah kita bersama-sama beramal soleh dan cuba menjadi yang terbaik supaya boleh menjadi role model kepada remaja-remaja yang lain daripada terlibat dengan page yang membuang masa dan tenaga itu. Betul tak?
0 comments:
Post a Comment