Sejak akhir-akhir ini, terjadi banyak peristiwa yang meruntun jiwa dan menyayat hati berlaku kerana kes-kes pembuangan bayi yang begitu berleluasa. Ada bayi yang dapat diselamatkan, tetapi lebih banyak yang sudah tidak bernyawa ketika dijumpai. Saya ingin bertanya kepada si pembuang bayi, semasa anda membuang bayi itu, adakah anda waras dan dapat berfikir dengan betul? Kerana mengikut logik akal, sekiranya anda waras dan dapat berfikir dengan betul, saya amat yakin yang anda tidak akan sanggup untuk membuang bayi yang amat comel itu! Apa salah bayi-bayi anda itu sehingga anda sanggup membuangnya? Dan, cubalah bayangkan sekiranya semasa anda baru dilahirkan, anda dibuang oleh ibu bapa anda, adakah anda berada di dunia yang fana ini?
Pelbagai persoalan dikemukakan untuk mengetahui sebab musabab mengapa seseorang bayi itu dibuang. Soalan yang pertama yang selalu ditanya ialah, tidak kasihankah ibu atau 'bapa' bayi itu membuang bayi tersebut ke tempat yang menghinakan? Bayi yang tidak mempunyai upaya dan tenaga malahan tidak mampu untuk menghalau semut pun, dihina oleh ibu dan 'bapa' biologi mereka di tempat yang amat menghinakan seperti di dalam semak, di dalam longkang dan ada yang membuang bayi di dalam tong sampah malahan ada yang siap membakar tong sampah tempat bayi itu dibuang sehingga bayi tersebut bukan sahaja dihina di dalam tong sampah, tetapi juga dibakar hidup-hidup. Adakah pada masa itu mereka begitu terdesak untuk menutup malu sehingga tergesa-gesa melakukan jenayah yang amat menghinakan itu? Mereka sebenarnya boleh sahaja menyerahkan anak itu kepada mana-mana ibu bapa yang ingin mencurahkan kasih sayang kepada seorang anak, tiada masalah! Dan jika mereka berasa malu juga, mereka boleh sahaja menyerahkan bayi tersebut kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat di negeri masing-masing untuk pembelaan terhadap bayi itu, boleh sahaja!
Dalam pada menyalahkan ibu dan 'bapa' biologi bayi-bayi malang tersebut, perlu juga kita menyelami apa yang sebenarnya terjadi kepada mereka sehingga mereka sanggup membuang bayi mereka itu. Barangkali, pada ketika mereka membuang bayi mereka itu, mereka tidak mendapat sebarang sokongan daripada masyarakat sekeliling. Ya, masyarakat di Asia pada umumnya tidak dapat menerima perbuatan 'terkutuk' yang menyebabkan lahirnya zuriat tanpa bapa yang sah itu, sehingga ibu-ibu yang ternoda itu tidak mendapat pembelaan yang sewajarnya. Memanglah, mereka terlalu muda untuk memikirkan kesan dan akibat daripada keseronokan yang mereka kecapi, dan apabila si 'bapa' biologi bayi yang dikandungnya itu tidak mahu bertanggungjawab lantas melarikan diri, si ibu muda itu tidak tahu tempat yang sepatutnya untuk mengadu. Mereka juga tidak tahu apa yang harus mereka buat, selain daripada mengandungkan bayi itu dan apabila bayi itu lahir, mereka lantas membuangnya tanpa berfikir panjang. Ini bagi mengelakkan mereka daripada berasa malu akibat 'dosa' silam yang telah mereka lakukan. Sememangnya, ujian DNA yang menggunakan teknologi terkini dalam menentukan asal usul zuriat tersebut boleh dilakukan ke atas 'bapa' biologi bayi tersebut, supaya mereka lebih bertanggungjawab ke atas 'keseronokan' yang mereka cipta sebelum itu!
Sememangnya, semua masalah seperti ini dapat diselesaikan dengan kembali kepada Al-Quran dan Al-Hadis. Setiap anak yang lahir ke atas muka bumi ini adalah umpama kain yang putih bersih, tidak ternoda sedikit pun, maka adalah menjadi kewajipan ibu bapa bayi tersebut untuk membentuknya. Memanglah kita ini tidak sempurna, tetapi dalam mendidik anak-anak, sewajarnya kita perlu berusaha untuk menjadi yang terbaik dan paling cemerlang. Dalam kata lain, kita ini manusia biasa yang tidak ada kesempurnaan, tetapi kita boleh menjadi yang terbaik dan paling cemerlang. Dengan didikan agama yang kuat, dan penceritaan secara realiti terhadap sebab dan akibat sesuatu perbuatan terlarang itu, anak-anak akan lebih faham dan terbuka dalam menangani isu-isu semasa di usia remaja mereka. Apabila mereka tahu akibat daripada 'keseronokan' sementara bersama pasangan masing-masing (yang pada akhirnya, pasangan wanita akan lari sekiranya berlaku apa-apa), sudah pasti anak-anak gadis itu akan berasa takut akan akibat yang mereka mungkin dapat, dan akan cuba mengelakkan perbuatan terlarang! Adalah menjadi tanggungjawab ibu bapa dalam bersikap terbuka dan tidak terlalu tabu terhadap pendidikan semacam ini. Supaya anak-anak lebih faham dan tahu akibat daripada sebarang perbuatan terlarang.
Akhirnya, setiap orang mempunyai tanggungjawab sendiri dalam menangani isu pembuangan bayi ini. Di pihak ibu bapa, sudah dibincangkan di atas betapa peri pentingnya mereka mendidik anak mereka dengan kaedah yang betul. Di pihak anak-anak remaja pula, mereka perlu mendengar nasihat dan didikan daripada ibu bapa mereka tanpa bantahan, selagi tidak bertentangan dengan norma dan syarak. Di pihak masyarakat pula, usahlah terlalu menyalahkan bakal ibu muda kerana apa yang sudah terjadi berkemungkinan boleh menyebabkan emosi ibu muda tersebut terganggu dan mereka mungkin tidak berfikir panjang dalam menyelamatkan diri mereka, yang akan menjerumus kepada pembuangan bayi. Semua pihak harus berganding bahu dalam menangani permasalahan ini. Jika tidak, jika kita terus-terusan enggan mengambil tahu akan masalah sosial ini, ia akan menjadi bertambah teruk dan impaknya akan terkena diri kita juga satu hari nanti.
0 comments:
Post a Comment