Menjadi seorang Pustakawan, jika di sebuah perpustakaan besar yang ketuanya adalah seorang Pustakawan juga, memang mudah. Kerana segala perancangan dan keputusan adalah berasaskan kepada budi bicara seorang pustakawan dan seorang ketua pustakawan. Segala perbelanjaan perpustakaan, adalah menurut kefahaman seorang yang bergelar pustakawan. Tiada masalah cek sangkut atau pembelian tertunda atau sebagainya kerana perancangan dan kepututasan dibuat oleh seorang pustakawan atau ketua pustakawan. Bagaimana pula dengan keadaan di mana sebuah perpustakaan kecil yang diurus oleh seorang pustkawan tetapi beliau menerima arahan daripada seorang ketua yang tiada latar belakang kepustakawanan?
Pasti haru biru dibuatnya pustakawan tersebut untuk memahamkan ketua yang tiada asas kepustakawanan tersebut. Barangkali ketua tersebut adalah seorang Pengurus Sumber Manusia, atau Pengurus Kewangan, atau Pengurus Pusat Maklumat yang hanya memiliki latarbelakang Teknologi Maklumat, atau boleh juga Rakan Sekutu Peguam di sebuah firma guaman. Tentu sahaja segala perbelanjaan di ambil kira. Buku-buku yang nampak tiada kaitan akan ditolak permohonan pembeliannya. Pustakawan yang menguruskan perpustakaan itu pastinya pening kepala dengan sikap kedekut terhadap perpustakaan khusus tersebut.
Masakan tidak, apabila pustakawan mendapat permohonan untuk membeli sebuah buku yang berkaitan dengan sesebuah jabatan dan harganya pula mahal, pengurus akan tiba-tiba mengusulkan kepada pustakawan untuk mencari alternatif yang lebih menjimatkan. Tiba-tiba sahaja pengurus mengarahkan pustakawan itu mencari buku elektronik yang lebih menjimatkan atau meminta naskah percuma daripada pengedar buku demi untuk menjimatkan wang syarikat, walaupun pembeliannya adalah pembelian berwajar, yang akan membantu menaikkan lagi kopetensi sesebuah jabatan di syarikat tersebut. Jika pengurus tersebut memahami kewajaran pembelian tersebut, tidak mengapalah, bagaimana pula walaupun setelah dihamparkan kertas cadangan setebal 10 muka surat pun, pengurus tersebut masih enggan menurunkan tandatangan untuk pembelian bahan perpustakaan?
Jawapannya, pustakawan tersebut tidaklah bersalah sama sekali! Kerana beliau telah melakukan kerjanya membantu dalam menambahkan bahan perpustakaan. Jika semua prosedur telah dipatuhi, namun ditolak pembelian sesuatu bahan perpustakaan itu ditolak, maka pustakawan tersebut tidaklah boleh dibebankan dengan kesalahan tidak melakukan kerja-kerja perolehan kerana dihalang oleh kuasa pengurus yang mahu menjimatkan wang syarikat. Mungkin juga pengurus tersebut mempunyai justifikasi sendiri. Apa yang boleh dilakukan oleh pustakawan tersebut ialah bersabar dan menerangkan secara terperinci kepada ketua jabatan yang memohon bahawa pengurus yang berkuasa ke atas perpustakaan tersebut tidak membenarkan pembelian bahan yang dipohon.
Itu adalah asam garam menjadi seorang pustakawan. Adalah lebih baik menjadi seorang pustakawan di institusi akademik yang pastinya mempunyai bajet yang besar untuk pembelian bahan berbanding perpustakaan khusus di syarikat yang sekadar main tarik tali sahaja dalam hal-hal pengurusan perpustakaan. Adalah tidak wajar sekiranya pengurusan syarikat itu hendak untung yang lebih, tetapi tidak mahu mengeluarkan modal. Paling menyedihkan ialah, ada juga pengurus yang mengatakan kewajaran penubuhan perpustakaan hanyalah sekadar kacang dan ia boleh ditutup pada bila-bila masa sahaja kerana ia tidak membuahkan untuk secara terus, tetapi harus diingat bahawa, perpustakaan memainkan peranan penting dalam menambahkan keuntungan modal insan yang berilmu pengetahuan dan berwibawa dalam bidang masing-masing.
0 comments:
Post a Comment