Facebook oh Facebook

Dengan jumlah 'keahlian' Facebook yang menjangkau 400 juta setakat ini, ramai diantara rakan-rakan saya yang menjadi 'gila' Facebook! Mengapa saya berkata demikian? Kerana dengan ribuan aplikasi di dalam Facebook yang amat menarik perhatian, ramai diantara mereka yang 'melekat' menghadap komputer atau komputer riba mereka saban hari untuk mengemaskini, bermain-main dengan aplikasi dan pelbagai lagi macam kerenah di dalam Facebook. Natijahnya, Facebook telah banyak mengubah cara-cara manusia berkomunikasi.

Sebagai antara aplikasi Web 2.0 yang paling berkuasa hari ini, ramai yang membuang masa sebenarnya dengan Facebook. Mereka 'berkomunikasi' tanpa mengira waktu walaupun pada masa ramai orang sedang tidur. Entah apalah yang dimain-mainkan di dalam Facebook itu sehingga ada yang ketagihan Facebook. Ramai juga yang mencari bahaya dengan menyatakan nombor telefon dan foto-foto peribadi di dalam Facebook yang secara mudahnya dimuaturun oleh pengguna lain. Bagi yang menjalankan perniagaan dan mengiklankan perniagaan mereka di dalam Facebook, mereka menjadi terkenal dan dikenali oleh ramai pengguna Facebook yang lain, itupun jikalau mereka menggunakan periklanan berbayar. Periklanan percuma dari satu akaun sahabat ke akaun sahabat yang lain hanya mengundang lelah kerana ramai 'sahabat' yang lain tidak langsung mempedulikan perniagaan orang lain.

Ramai juga yang membuang duit dengan membeli modem jalur lebar dan komputer riba hanya semata-mata ingin 'bersama' Facebook setiap masa, termasuklah di kafe mahal iaitu dengan membeli secawan kopi dan ber'Facebook selama berjam-jam. Ramai yang seakan sudah tersesat di dunia siber Facebook mencari-cari tempat-tempat yang menarik untuk dikunjungi dan masa berjalan dengan begitu pantas dan tanpa disedari, hari sudahpun malam. Bagi yang melayan Facebook sewaktu masa bekerja, sedar tidak sedar, hari sudah pun petang dan tiba waktu untuk pulang. Ketagihan ini seakan sukar untuk dihalang lagi walaupun oleh diri sendiri!

Seharusnya, kita mestilah sentiasa bersederhana dalam melakukan sesuatu. Pandanglah isu ini dengan mata burung, bukan dari bawah tempurung, kerana dengan mata burung, kita akan nampak isu ini secara menyeluruh, dan cuba menyelesaikannya dengan begitu mudah sekali. Ramai yang membuang masa bekerja mereka dengan Facebook. Sebenarnya, Facebook bukanlah aplikasi yang tidak baik, ianya memang baik tetapi mestilah digunakan dengan cara yang paling bijak, agar kita tidak terjerumus dalam aktiviti yang membuang masa dan melalaikan. Gunakan Facebook secara bijak dan dengan cara yang paling baik. Pasti kita akan dapat menggunakannya untuk mendapatkan keuntungan yang berganda..

0 comments:

Post a Comment

My Instagram