Ramai yang berfikir mengenai kebenaran kata-kata orang tua-tua iaitu "Senang Naik, Senang Jatuh", termasuklah saya. Tak pastilah saya samada ianya benar kata-kata hikmah daripada orang-orang tua dulu-dulu kerana baru sedekad dua ni saja yang saya baru mendengar frasa tersebut. Namun begitu, memang benar, kalau kita tidak sabar dan ingin cepat naik (ingin cepat banyak duit sebenarnya), maka ada kemungkinan yang ketamakan kita itu memakan diri kita sendiri dan menjadi punca kejatuhan awal kita.
Dalam apa jua bidang pun, kita telah melihat ramai yang orang cepat sangat nak naik, akhirnya jatuh tersungkur terlalu cepat juga. Kita lihat beberapa artis yang naik secara mendadak (sehingga ada yang menggelarkan mereka sebagai artis mee segera), tetapi kemudiannya jatuh juga secara mendadak dan dilupakan orang. Ada juga golongan ahli poleeteek yang naik secara mendadak, dan akhirnya juga jatuh secara mendadak. Tidak lupa juga ada individu di pejabat kita yang ingin naik dengan segera sehingga sanggup menjadi pak turut kepada ketua kita, ya, dia naik secara mendadak, tetapi apabila ketua kita dapat kerja lain, individu tersebut menjadi terkapai-kapai dan akhirnya jatuh menjunam secara mendadak kerana tiada lagi tempat bergantung.
Cuba kita lihat beberapa artis atau ahli fotografi yang tidak terlalu mengejar glamour iaitu, mahu dikenali secara cepat, mahu menguasai dunia mereka secara cepat, mereka bersabar dan melalukan kerja seperti biasa. Orang lain tidak mahu melihat rahsia kejayaan mereka sebenarnya, yang orang lain mahu lihat ialah hasil kerja mereka. Orang lain tidak pun mahu kisah mengenai aktiviti mereka yang menawan seperti yang sering dikemaskini di laman-laman sosial. Kalau mahu kemaskini mengenai kejayaan-kejayaan mereka tetapi hasil kerja tidak diterima umum, untuk apa mereka berbuat begitu kan?
Jadi, kembali kepada asal, berusahalah untuk menghasilkan kerja yang baik, bukanlah buat ala kadar dan tunjukkan kepada orang lain walhal ia berdasarkan niat yang salah iaitu mahu cepat naik. Tindakan tidak sabar itu pastinya akan memakan diri sendiri dan membuatkan kita jatuh secara mendadak juga..Berhati-hatilah dalam hidup ini. Jangan selalu tamak haloba.
0 comments:
Post a Comment