Bagaimana Untuk Kelihatan Hebat? : Perbezaan ‘Kelihatan Hebat’ dengan Benar-Benar Hebat


Satu soalan yang menerpa di fikiran saya pada pagi ini ialah, bagaimana orang-orang yang mahu  ‘kelihatan hebat’ memperlihatkan kehebatan mereka? Orang yang mahu kelihatan hebat sebenarnya adalah manusia biasa yang melakukan perkara-perkara atau pekerjaan yang nampak hebat. Bukan melakukan yang kelihatan hebat-hebat sahaja, tetapi fokus utama mereka adalah menghasilkan output yang 'nampak' hebat. Ramai di kalangan orang yang benar-benar hebat pula akan sentiasa menyepikan kehebatan mereka yang berbeza dengan orang yang mahu ‘kelihatan hebat’ dan menzahirkan kehebatan mereka supaya orang lain berasa kagum dan taksub.

Kita fokuskan kepada golongan yang kelihatan hebat yang sentiasa menzahirkan kehebatan mereka di dalam bidang yang mereka ceburi. Golongan seperti ini memang sentiasa wujud di mana-mana, dan membuatkan orang lain berasa kagum. Manusia adakalanya akan menunjukkan kemahuan untuk berada di atas dari kalangan manusia yang lain. Itu tidak dapat dinafikan kerana keuntungan berada di atas adalah lebih besar daripada berada di bawah. Ini telah membuatkan ramai  daripada kita yang mahu kelihatan hebat sedangkan orang yang benar-benar hebat sentiasa merendah diri dan menyorokkan kehebatan mereka.

Bagaimana untuk kelihatan hebat? Hebat di sini ialah di depan pandangan mata orang lain. Pada kebiasaannya, orang yang benar-benar hebat di dalam sesuatu bidang yang diceburi akan merahsiakan kehebatannya. Sekiranya seseorang itu hebat ilmu agamanya, dia akan lebih tunduk dan hanya berkata-kata apabila perlu sahaja. Cuma apabila keadaan mendesak yang memerlukan penglibatannya, barulah dia akan keluar sebagai seorang pemimpin, itupun selepas di‘bai’ah’ oleh orang lain . Untuk ‘kelihatan hebat’ pula, setiap peluang untuk membuatkan namanya dikenali akan digunakan. Peluang untuk memimpin akan direbut walaupun menjadi pemimpin bukanlah satu tanggungjawab yang mudah. Jadi, bagaimana orang biasa untuk kelihatan hebat ialah dengan cara ‘menghadirkan diri’ di celah-celah orang ramai supaya dia akan ‘kelihatan hebat’ sedikit daripada orang lain.

Untuk kelihatan hebat juga, seseorang itu perlu berwajah manis dan hebat dalam tuturkatanya di dalam apa juga situasi walaupun dalam situasi yang tidak memerlukan pendapatnya. Perkara ini memerlukan latihan yang mantap samada melalui latihan sendiri atau menyertai latihan di dalam kelab pengucapan awam. Latihan-latihan yang berterusan akan menjadikan seseorang itu kelihatan hebat di dalam tuturkata selain daripada aspek berwajah manis yang akan mempersonakan orang lain. Orang yang benar-benar hebat pula walaupun berwajah manis dan mampu bertutur kata dengan tersusun, tetapi dia akan hanya memberikan pendapat apabila diperlukan dan menjaga hati orang lain yang sedang memberikan pendapat.

Salah satu daripada kaedah untuk kelihatan hebat ialah dengan mementingkan proses lebih daripada memfokuskan diri kepada output. Ramai yang mahu kelihatan hebat akan mempamerkan proses kerja mereka di hadapan orang lain sambil menambah beberapa perkara kecil yang boleh menambahkan kehebatan itu supaya orang lain akan menganggap bahawa dia benar-benar hebat. Proses akan diperlihatkan walaupun output yang dihasilkan itu adalah satu output yang sederhana sahaja. Proses itu perlu dipertontonkan sebaiknya. Ini amat berbeza dengan orang-orang yang hebat yang tidak mempertontonkan sangat proses kerjanya tetapi orang lain akan mengagumi output yang dihasilkannya.

Dari beberapa contoh untuk kelihatan hebat itu, sepatutnya seorang yang menatap dan membuatkan perbandingan akan dapat melihat perbezaan ketara di antara orang yang mahu kelihatan hebat dan orang yang benar-benar hebat. Penerimaan terhadap kedua-dua golongan tersebut sepatutnya menjurus penghasilan output yang hebat dan bukanlah kepada proses sahaja yang ‘nampak’ hebat.

0 comments:

Post a Comment

My Instagram