5 Cara Membuang Tabiat Buruk

Setiap orang pasti mempunyai tabiat buruk. Tabiat buruk adalah satu perkara yang perlu dikawal dan disembunyikan. Jika berkemampuan, tabiat buruk perlu dibuang jauh-jauh daripada kehidupan anda. Ia tidak membawa keuntungan, malahan akan memberikan kerugian kepada anda. Sebagai contoh, sekiranya anda mempunyai tabiat merokok, anda perlulah membuang tabiat tersebut jauh-jauh, kerana apalah gunanya anda mempunyai tabiat tersebut? Terdapat 5 cara umum yang biasanya digunakan untuk membuang tabiat buruk yang dimiliki.

Buat Senarai
Buat Senarai Pro dan Kontra terhadap sesuatu tabiat buruk yang anda miliki. Tuliskan di atas kertas mengenai  kelebihan dan kekurangan tabiat anda itu. Berlaku jujur dengan diri anda ketika menulis sebarang kekuatan dan kelemahan tabiat tersebut. Selepas anda menyelesaikan barisan pro dan kontra tabiat anda itu, letakkan ia di atas timbangan minda anda dan lihat samada pro atau kontra yang lebih berat. Sekiranya anda mendapati bahawa tabiat buruk anda tidak patut diteruskan, maka sudah semestinya anda perlu tahu apa yang anda patut lakukan.

Elakkan
Anda sepatutnya mengelakkan daripada terlibat dengan aktiviti buruk supaya anda tidak terbiasa dengan perkara atau perbuatan tersebut. Sekiranya anda tidak berusaha untuk mengelakkan diri daripada melakukan tabiat buruk anda, maka anda akan terus-terusan melakukannya sehinggalah anda menyedari tabiat buruk anda itu tidak sepatutnya anda teruskan. Berusaha untuk mengelakkannya untuk sehari. Anda perlu berkata kepada diri anda bahawa anda tidak patut melakukannya untuk hari ini.

Menahan
Menahan diri daripada melakukannya semula adalah lanjutan daripada usaha anda untuk mengelakkan diri daripada tabiat buruk anda itu. Selepas anda mengelakkannya, anda juga perlu menahan diri bukan sekadar untuk hari ini, tetapi juga anda perlu meneruskannya untuk keesokan harinya pula. Sekiranya anda berjaya menahan untuk dua hari, tidak mustahil untuk anda menahan diri daripada melakukannya untuk tempoh dua hari lagi. Cubalah!

Istiqamah 
Anda perlu tetap pendirian di dalam mengekalkan kekuatan menolak tabiat buruk anda itu. Kekuatan dalaman perlu anda keluarkan sekiranya anda ingin berjaya di dalam usaha anda itu. Pada kebiasaannya, akan ada anasir atau unsur luar yang cuba mengganggu gugat usaha anda dan pada ketika itulah segala kekuatan yang anda miliki perlu anda gunakan untuk melawan diri daripada melakukan semula tabiat buruk anda itu. Jika anda boleh mengelakkan diri dan menahan daripada melakukan tabiat buruk anda untuk dua hari, tetapkan pendirian anda untuk lima hari pula. Akhirnya anda akan tiba ke satu keadaan di mana anda boleh secara semulajadi menolak daripada melakukan tabiat buruk anda. 

Fokus 
Anda juga perlu fokus terhadap matlamat untuk membuang tabiat tersebut. Ya, anda tidak boleh cukup sekadar mengatakan yang anda mahu terbang di awan tanpa menyebutkan sekali bila anda ingin terbang di awan. Anda perlu menetapkan matlamat anda. Cara untuk mencapai matlamat anda itu adalah dengan fokus terhadap matlamat tersebut. Sekiranya matlamat anda adalah untuk membuang tabiat buruk anda jauh-jauh, tetapkan matlamat anda dari aspek kebolehcapaian, tempoh masa, realistik dan sebagainya supaya lebih mudah anda untuk mencapai matlamat tersebut. Akhirnya, fokus terhadap matlamat yang anda telah tulis itu.

Apa juga tabiat buruk yang anda miliki, ianya harus dibuang supaya ia tidak mengaibkan diri anda suatu hari nanti. Anda perlulah kuat dan tabah untuk membuangnya kerana tiada guna anda untuk memiliki satu tabiat buruk. Pilihlah untuk memiliki tabiat yang baik dan positif, kerana keuntungan daripada tabiat yang baik pastinya akan berbalik kepada diri anda juga dan begitulah sebaliknya. Tepuk dada, tanyalah selera!

0 comments:

Post a Comment

My Instagram