Keberanian Dalam Hidup Ini Umpama Keberanian Memasuki Jalan Yang Penuh Kenderaan Laju!


Pasti kita pernah menghadapi satu situasi di mana kita hendak keluar dari satu kawasan letak kereta, tiba-tiba kita mendapati jalan besar di luar kawasan letak kereta itu dipenuhi kenderaan-kenderaan yang bergerak begitu pantas.

Adakah kita hanya membiarkan kenderaan-kenderaan yang amat laju dan tanpa mempedulikan kita itu terus bergerak dan kita makin kehilangan peluang untuk mengambil tempat sedangkan kita juga dalam keadaan ingin segera sampai ke destinasi yang ingin kita tujui?

Atau kita dengan secara berhati-hati cuba untuk memasuki barisan dengan memohon agar kenderaan-kenderaan yang laju itu agar memperlahankan kelajuan kenderaan mereka secara hormat dengan mengangkat tangan kepada mereka?

Hal itu boleh saja dilakukan, tetapi kita mesti memiliki keyakinan yang tinggi untuk melakukannya. Memandu kenderaan bukanlah bergantung sangat kepada skil semata-mata, tetapi keyakinan yang tinggi lebih diperlukan.

Bagaimana pula dengan kehidupan kita? Kenderaan yang laju itu diibaratkan sebagai perlumbaan kehidupan yang amat pantas dan memerlukan kita untuk memasuki perlumbaan tersebut seberapa segera yang mungkin. Jika tidak, sudah tentulah orang lain akan mengambil bahagian kita. Walaupun ia adalah rencah perlumbaan tikus, tetapi dalam keadaan tertentu, kita akan menghadapinya juga.

Jadi, kita perlukan keyakinan yang jitu untuk memasuki perlumbaan hidup. Kita perlu memiliki keyakinan untuk memasuki bidang perniagaan dan berhenti daripada pekerjaan kita sekarang. Kita juga perlukan keyakinan untuk melaksanakan sesuatu projek yang orang lain tiada keyakinan untuk melaksanakannya.

Sebarang usaha kita untuk mencapai sesuatu yang kita inginkan, perlukan kekuatan hati, keberanian dan keyakinan. Keyakinan akan memandu kita terus ke hadapan kerana kita berasa yakin akan jalan-jalan yang kita pilih. Tanpa keyakinan, kita akan berasa ragu dan perjalanan kita akan tersekat-sekat sehingga usaha tersebut akan terbantut dan terbengkalai.

0 comments:

Post a Comment

My Instagram