Telah dimuktamadkan oleh Allah SWT bahawa ayahanda saya yang tercinta, Almarhum Hamidi Bin Ab Hamid telah dijemput untuk mengadapNYA pada pagi 2 Feb 2012 yang lalu. Keberangkatan pulang Almarhum secara tiba-tiba kerana demam telah membuatkan hati saya sungguh terluka dan saya secara fizikalnya tergamam kerana dua hari sebelumnya, Almarhum ligat sahaja berjalan ke HKL bagi mendapatkan rawatan untuk luka di kaki beliau kerana diebetes, dan luka tersebut semakin sembuh.
Saya yang pada hari tersebut dalam perjalanan ke tempat kerja sedikit menangis apabila mendapat perkhabaran daripada ibu saya bahawa ayahanda saya telah pergi buat selama-lamanya pada pukul 7:50 pagi tersebut. Adik saya yang bekerja di selatan negeri Selangor juga bingkas pulang dalam keadaan hampa kerana tidak berada di sisi ayahanda kami semasa beliau menghembuskan nafas terakhir.
Teringat kembali kenangan manis semasa kecil apabila ayahanda saya mendukung saya walaupun ketika saya berusia tujuh tahun dan kaki saya pun sudah sampai ke lututnya ketika didukung oleh kerana saya mungkin kepenatan berjalan. Ayahanda saya jugalah yang menyapu minyak angin panas di buku lali kaki saya ketika saya tercedera jatuh basikal pada usia 11 tahun. Dan beliau jugalah yang menghantar saya ke ITM Shah Alam (kini UiTM) bersama ibu dan adik-adik saya ketika saya menjejakkan kaki ke menara gading ketika saya berusia 20 tahun..
Kini kenangan itu hanyalah tinggallah kenangan. Ayahanda saya pergi telah ditakdirkan. Saya hanya mampu termenung dan mendoakan kesejahteraan Almarhum di alam baru. Saya tidak akan menuntut apa-apa daripada beliau kerana beliau telah sedaya mampu membesarkan saya sehingga saya menjejakkan kaki ke menara gading dan mendapat pekerjaan yang amat baik serta menghasilkan sebuah buku motivasi. Kesedihan di dalam hati akan saya buang jauh-jauh kerana ayahanda saya telah berjaya mendidik saya dan adik-adik sekurang-kurangnya mampu memberi manfaat kepada orang lain.
Semoga kami akan bertemu lagi di pintu syurga nanti. Saya mohon sahabat-sahabat pembaca blog saya ini dapat mendoakan kesejahteraan ayahanda saya yang perkasa itu walaupun beliau hanyalah insan yang kerdil di hadapan Allah. Hadiahkanlah Al Fatihah kepada Ayahanda saya, Almarhum Hamidi bin Ab Hamid supaya terang dan luas kuburnya dan terpelihara beliau daripada seksaan kubur, na'uzubillah.
Amir amat merinduimu Abah..
1 comments
Al-Fatihah.. Tiap yang hidup akan mati.. bersyukurlah anda punya waktu yg lama bermanja dgn mereka.. Saya x bernasib baik seperti anda... Ibu pergi dijemput ilahi seawal usia saya 8 tahun.. Genap setahun selepas itu, ayah pula pergi... Jadinya, jangan bersedih, sbb anda jauh lebih bertuah berbanding saya.
ReplyDelete