Rindunya Pada Abah..

Rindunya pada Abah.. Hendak sekali menatap wajahnya tetapi beliau sudah aman di dalam kubur. Tidak tertahan rasa hati ini ingin memeluk tubuhnya sebagaimana saya memeluk tubuhnya di atas katil tempat beliau meninggal dunia. Teringat wajahnya yang sayu dan indah sewaktu meninggal dunia, saya sentiasa mendoakan agar beliau mendapat tempat yang luas dan bercahaya di dalam kubur yang penuh sunyi sepi itu. Setiap kali saya membaca Al-Fatihah, saya akan sedekahkan kepada beliau kerana saya tahu, Fatihah itu insya Allah, akan sampai kepada beliau. Semoga Allah mengampuni segala dosa-dosa beliau.

Teringat saat ibu saya cemas menelefon saya, memberitahu "Abah dah meninggal.." Satu ayat yang tidak pernah saya dengar seumur hidup saya. Nafas saya terasa tersekat dan saya ingin meraung kerana terkejut yang amat sangat pada ketika itu. Ya, bagi seseorang yang sudah lama tidak kehilangan ahli keluarga (paling akhir ialah datuk saya yang meninggal dunia pada tahun 1995 iaitu 17 tahun lalu), tentunya ayat itu adalah satu ayat yang sukar untuk dipercayai! Namun itulah realiti.

Saya membantu menguburkan arwah Abah saya dengan penuh dedikasi namun hati tetap berasa sayu kerana saya hanya memiliki seorang bapa. Beliau tiada gantinya. Beliau mendukung saya yang sedang tidur tanpa penat walaupun usia saya pada ketika itu ialah 7 tahun, sama seperti saya mendukung anak saya yang kini berusia 6 tahun yang kakinya sudah mencecah lutut saya. Kenangan indah bersama tidak mungkin saya lupakan. Semoga kami berjumpa di syurga nanti, insya Allah.

Bagi anda yang masih mempunyai bapa, hargailah bapa anda kerana bapa anda adalah asbab kepada terlahirnya anda ke dunia ini. Biarpun jika anda ada krisis dengan bapa anda, segeralah pegang tangannya dan mintalah keampunan kerana semestinya yang muda menghormati yang tua. Rawatilah dia sebagaimana dia bermotosikal atau berkereta ke tempat kerja untuk kebajikan anda dan keluarga. Tidak mungkin anda akan mendapat seorang lagi bapa yang sama seperti bapa anda apabila dia sudah meninggal dunia.

0 comments:

Post a Comment

My Instagram