Ikan Bakar Kuala Selangor


Pada hari Khamis (16 Feb 2012) yang lepas, saya telah diajak oleh isteri saya untuk makan ikan bakar di Jalan Pantai Jeram, Kuala Selangor. Pada mulanya, saya menyangkakan bahawa tentu sahaja perjalanan dari pejabat saya di Bandar Utama ke Kuala Selangor terlalu jauh kerana saya mempunyai pengalaman memandu ke sana lebih kurang 7 tahun lalu semasa saya menukar enjin Proton Wira lama saya daripada enjin standard kepada enjin Turbo GSR di sebuah bengkel di kawasan Ijok pada tahun 2005.

Namun demikian, kerana menggunakan lebuhraya baru yang dikenali sebagai LATAR, perjalanan yang disangka lama itu mengambil masa lebih kurang 20 minit sahaja dari persimpangan Guthrie - PLUS ke persimpangan Ijok dan tambahan 15 minit lagi dari persimpangan Ijok ke Jalan Pantai Jeram. Sesampai sahaja di sana, hari sudahpun gelap iaitu kira-kira pukul 8 malam. Saya dan isteri mengisi tempat parkir yang disediakan sebelum pergi memilih ikan, udang dan sotong di kaunter pemilihan. Setelah pemilihan dibuat, pekerja yang menimbang makanan pilihan bertanya kepada kami jenis-janis masakan yang kami mahu untuk makanan-makanan laut yang telah kami pilih. Setelah memberitahu pilihan kami, kami diminta untuk ke meja yang tersedia dan disitu pula, pelayan yang bertugas telah mengambil pesanan air dan sayur-sayuran yang ingin ditambah.

Pada malam itu, kehadiran pengunjung bolehlah dianggap sederhana dan tidak terlalu bersesak-sesak yang mana saya dan isteri serta anak kami berasa agak selesa menikmati makan malam kami iaitu nasi berserta udang butter, ikan bakar, sayur kailan ikan masin dan sotong masak merah. Caj yang dikenakan hanyalah RM43 sahaja. Pengalaman dan perjalanan ke sana adalah lebih penting berbanding harga yang dikenakan kerana saya dapat merasa udara yang berlainan semasa makan malam, tidaklah hanya udara yang sama sahaja di Keramat atau Taman Melati.. :-)

Bagi anda yang ingin ke sana, pastikan anda memasang GPS atau Google Map kerana kebarangkalian untuk anda tersesat ada juga walaupun jalan ke restoran itu agak mudah sekiranya anda biasa dengan kawasan Kuala Selangor. Pada hari Ahad yang lalu (19 Feb 2012), saya telah membawa ibu dan adik-adik saya bersama untuk makan di restoran yang sama di mana saya dan isteri serta adik saya telah meminta agar sotong yang dipilih oleh kami untuk dibakar bersesuaian dengan nama restoran tersebut iaitu Restoran Ikan Bakar Jalan Pantai Jeram, tidak dimasak merah seperti kunjungan pertama kami pada hari Khamis yang lepas.. :-) HH.

0 comments:

Post a Comment

My Instagram