Kita Tidak Akan Faham Penderitaan Hati Ibu Kita..


Hari ini sudah 27 hari bapa saya meninggalkan isterinya yang tercinta dan anak-anaknya yang dikasihi. Perginya tak akan kembali membuatkan saya terfikir (selama beberapa hari selepas pemergian bapa saya) bahawa tangisan isterinya iaitu ibu saya adalah satu tangisan yang panjang dan hanya dimengertikan oleh beliau seorang sahaja. Anak-anak turut menangis kerana perginya bapa mengadap Allah yang Maha Esa, namun anak-anak tidak akan memahami tangisan seorang ibu yang kehilangan suami.

Masakan tidak, teman yang bersama sejak 36 tahun yang lalu sudah pergi buat selamanya dan tiada peluang untuk bertemu kembali kecuali perlu menunggu semasa di syurga, atau seorang berada di atas bumi, sementara seorang lagi sudah berada di dalam kubur dan hanya boleh dilihat batu nisannya sahaja, apakah anak-anak akan memahami keadaan perasaan ibunya? Anak-anak hanya mampu memujuk ibu yang sedang berada di dalam kesedihan, tetapi bahu yang memikul beban derita hati tiada siapa yang tahu.

Tiada mana-mana anak yang mampu memahami tangisan di dalam hati seorang ibu apabila kehilangan insan yang menemaninya ke sana sini selama 36 tahun yang tiba-tiba tiada berada di sisi! Hati siapa yang parah kalau terjadi begitu dan adakah orang lain akan memahaminya? Paling kurang pun, orang lain iaitu anak-anak hanya mampu memujuk hati ibu mereka dan penderitaan itu akan kendur buat seketika. Tetapi ia akan hadir kembali suatu hari nanti.

Peranan anak-anak adalah untuk berada di sisi ibu mereka tatkala ibu dalam kesedihan amatlah diperlukan kerana pada masa itu, ibu berasa satu kehilangan yang besar dan dengan kehadiran anak-anak yang sentiasa melihat dan membantu mengawal emosi ibu mereka memang merupakan sesuatu yang dapat mengurangkan bebanan perasaan yang ditanggung. Anak-anak mesti sentiasa berada di sisi ibu mereka bagi membantu untuk kembali berdiri dan tidak berada di dalam keadaan yang amat sedih kerana ibu sentiasa dikelilingi oleh anak-anak.

0 comments:

Post a Comment

My Instagram