Langit Tak Selalu Cerah

Apabila kita merenung kembali masa lalu kita yang penuh dengan suka duka, mungkin kita akan terfikir bahawa kehidupan yang telah kita lalui dulu (sehingga kini) ada turun naiknya, ada terang kelamnya, ada gembira sedihnya dan pelbagai lagi kenangan pahit dan manis yang kita boleh jadikan teladan dan sempadan. Sememangnya kita, sebagai insan yang berfikir, akan menyedari bahawa semua pengalaman kita itu adalah pelajaran paling berguna dalam kehidupan. Malahan, pengalaman kehidupan yang dilalui itu besar pengertiannya berbanding mendengar pengalaman orang lain daripada cerita dan daripada bacaan di dalam buku sahaja.

Langit sememangnya tak selalu cerah. Ia perumpamaan kehidupan yang biasa kita dengar dan kita pegang. Betapa kehidupan yang kita lalui pasti ada pasang surutnya. Dalam pelbagai aspek kehidupan, kita tidak dapat lari daripada keadaan itu. Ia seakan sudah sebati dengan kehidupan kita. Ia seakan dugaan yang perlu kita lalui sebelum kita dapat mencapai sesuatu yang kita inginkan. Yang pastinya, sekiranya kita mengalah pada surut atau dugaan pertama, ada kemungkinan juga kita sudah menjadi orang yang putus asa dan enggan melawan arus dugaan yang amat keras dan deras itu. Kita terjelepuk di kaki percubaan yang sepatutnya kita usahakan.

Ingatlah bahawa tiada apa yang boleh kita dapatkan secara mudah, melainkan kita menggunakan jalan pintas yang kadangkala terpalit suatu kotoran yang tidak boleh dihilangkan. Sesuatu yang bernilai itu amat payah jalan untuk mendapatkannya. Ia berliku dan berbatu, sehingga kita mudah digelincirkan oleh perasaan negatif yang akan mencangkuk kaki kita sehinga kita terjatuh dan mendapat luka. Sekiranya kita terus mengerang kesakitan, maka kita akan tersangkut di tempat kita jatuh itu untuk jangkamasa yang lama.


Kita mesti melalui kawasan yang kelam itu sebelum kita dapat sampai ke kawasan yang cerah. Ingatlah bahawa langir yang gelap itu bukanlah untuk selamanya. Ia sekadar penghias perjalanan kehidupan kita dan seharusnya kita mesti berdepan dengan suasana yang sementara itu. Atur langkah kehidupan untuk melalui kawasan kelam itu. Di depan sana, ada cahaya yang sedang menanti kita. Cabarlah kehidupan ini supaya kita sampai ke had tertentu yang dihiasi dengan kegemilangan! 

Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.


0 comments:

Post a Comment

My Instagram