Nilai murni kadang-kadang dilihat sebagai sesuatu yang sudah mulai luntur dalam masyarakat moden sekarang. Kalau dulu, pada tahun-tahun 80-an dan 90-an pun orang sudah mengatakan dunia sudah moden dengan lebih ramai orang sudah mampu memiliki kenderaan sendiri, tetapi kini kehidupan kita sememangnya lebih moden lagi. Kalau dulu, kita memakai telefon bimbit pun sudah dianggap moden, kini memiliki telefon pintar barulah dianggap moden!
Namun setiap hari kita terlibat dalam perlumbaan tikus. Semua orang mahu cepat sampai ke destinasi yang hendak ditujui. Semua orang mahu pantas mendapatkan sesuatu yang diingini. Malahan semua orang mahu merebut sesuatu peluang yang tidak mungkin tidak terhad. Semua orang mengejar wang ringgit dan mula meninggalkan nilai-nilai murni. Jatidiri semakin pudar dan dianggap tidak berapa penting lagi. Yang lebih penting ialah wang, masa, kelengkapan hidup dan kedudukan.
Maka tidak hairanlah orang mulai menindas orang lain untuk mendapatkan tempat terdahulu ataupun teratas! Kalaupun tidak menindas, orang sudah tidak segan silu untuk menunjukkan ketidaksabaran mereka. Orang semakin tidak memandang orang lain untuk menjadi nombor satu. Pedulikan hati orang lain, ianya tidak memberi keuntungan langsung, bak kata sesetengah orang. Tambah mereka lagi, buat apa berbuat kebaikan, kerana tiada siapa yang mahu memberikan penghargaan!
Maka kita semakin hari semakin tenggelam dalam perlumbaan dunia yang tiada kesudahan. Bagi setiap entiti individu, kesudahan hanyalah apabila nyawa besar sudah keluar dari tenggorok, selainnya hanyalah tiada tempat untuk berehat dan terpaksa meneruskan perlumbaan demi perlumbaan.
0 comments:
Post a Comment