Berbasikal Aktiviti Riadah Yang Amat Menarik!


Saya boleh katakan bahawa aktiviti berbasikal saya telah bermula pada zaman kanak-kanak iaitu pada tahun-tahun 80-an. Semasa saya mula-mula mengayuh, saya menggunakan basikal Allahyahumah Ibu saya, iaitu basikal Raleigh yang ber'gear' tetap. Pada hari pertama saya pandai mengayuh (semasa itu saya tidak menggunakan tayar tambahan sebab basikal itu adalah basikal ibu saya), saya sudahpun dapat mengelilingi Kampung Nakhoda (tempat saya membesar dari tahun lahir iaitu 1977 sehingga tingkatan satu pada 1990)! Setiap hari saya akan mengayuh bersama rakan-rakan sehingga ke Taman Jasa yang pada ketika itu terdapat taman permainan kerana Kampung Nakhoda tiada taman permainan seumpama itu.

Setelah berpindah ke Kampung Pandan pada tahun 1990, aktiviti ini terhenti begitu saja kerana saya tiada kawan-kawan baru di sana. Saya pernah mengimpikan untuk memiliki basikal mountain bike tetapi hasrat itu tidak tercapai kerana kekangan kewangan dan tiada masa untuk berbasikal (saya bersekolah di SMK Maxwell tetapi tinggal di Kampung Pandan, sampai di rumah biasanya pada pukul 8 malam).

Apabila menginjak usia, semakin tiada masa untuk saya berbasikal dan saya hampir terlupa kepada impian memiliki basikal mountain bike sehinggalah beberapa tahun kebelakangan ini (sejak usia 30 tahun (2007)) saya mula memikirkannya kembali. Kekangan waktu seakan-akan membantutkan usaha saya untuk memiliki basikal tersebut. Namun akhirnya sejak beberapa bulan kebelakangan ini iaitu pada awal 2012, saya mula bertekad untuk memiliki sebuah basikal mountain bike yang akan saya gunakan sebagai usaha untuk beriadah pada waktu lapang di samping untuk menyihatkan badan!

Sebagai orang baru dalam dunia mountain bike, saya semakin banyak bertanya kepada 'otai-otai' basikal mengenai apa sahaja berkaitan basikal mountain bike dan aktiviti yang berkaitan dengannya. Suatu ketika dulu iaitu semasa zaman persekolahan, saya amat suka dengan aktiviti lasak. Saya pernah menjadi 'skater' atau pemain papan luncur (skateboard) pada usia 18 tahun (tetapi tidaklah pro..). Saya juga suka dengan aktiviti perkhemahan walaupun tidaklah selalu berpeluang untuk berkhemah (kerana kerisauan ibu bapa). Perkhemahan sebenar saya ialah semasa menyertai pasukan Kesatria semasa dalam pengajian di UiTM dulu (1997-2001) di mana saya dan rakan-rakan pernah tidur di atas tanah dan menjalani aktiviti lasak di kawasan perkhemahan di Bukit Cahaya Seri Alam, Bukit Cerakah.

Berbasikal menggunakan basikal mountain bike juga merupakan aktiviti lasak yang mengujakan saya! Saya akui bahawa, aktiviti berbasikal memang merupakan aktiviti riadah yang amat menarik. Di samping untuk tujuan kesihatan, kita dapat mengumpul ramai kenalan secara berdepan dan di dalam laman sosial terutamanya Facebook dan Twitter. Yang menariknya lagi, aktiviti ini membuatkan saya ingin tahu lebih banyak mengenai komponen-komponen basikal. Pada suatu hari nanti, saya amat berharap agar saya mampu untuk membuka kesemua komponen basikal dan mampu untuk memasangnya semula menjadi sebuah basikal yang berdiri, insya Allah!

Di samping aktiviti fotografi, saya amat-amat menyarankan aktiviti berbasikal sebagai tambahan kepada hobi anda yang sedang anda usahakan kerana di samping anda dapat menyihatkan badan, anda akan mendapat banyak pengalaman baru, teknik baru, skil berbasikal yang baru, menambah kenalan yang baru dan sebagainya, insya Allah! Cubalah sekarang untuk merangka rancangan untuk mendapatkan basikal pertama anda!

Sent by Maxis from my BlackBerry Torch 9810® smartphone

1 comments

My Instagram