Setelah 4 bulan bapa saya meninggalkan kami sekeluarga dan berpindah ke alam barzakh pada pagi hari Khamis, 2 Feb 2012 yang lalu, tiba pula giliran ibu saya, Hasnah Binti Haji Mali meninggalkan kami tiga beradik di dunia ini dan menyertai bapa saya di 'sana'. Betapa sedih dan pilu rasa hati ini apabila ibu yang saya harapkan untuk hidup lebih lama lagi sekurang-kurangnya ke usia 70-an atau 80 dan telah meninggalkan kami pada Jumaat, 29 Jun 2012 pukul 11:40 malam. Lebih terluka lagi ialah, apabila pada pukul 8:30 malam itu, saya mengambil ibu yang mendapatkan rawatan dialisis (7:30 - 8:00 malam), ibu saya bergerak dengan aktif sahaja dari lobi hospital menuju ke kereta saya. Namun apabila pulang, pada pukul 10:00 malam itu, adik saya menelefon saya mengatakan ibu sedang nazak dan sesak nafas. Bergegas saya ke rumahnya dan saya cuba mententeramkan ibu sambil menggosok-gosok belakangnya. Ibu tidak mahu ke hospital kerana terlalu letih setelah mendapatkan rawatan dialisis yang memenatkan itu. Akhirnya pada pukul 11:40 malam, ibu meninggalkan kami tiga beradik di dalam rangkulan pelukan saya.
Saya 'terpaksa' redha dengan ketentuan ini dengan hati yang terluka. Sama seperti bapa, ibu saya meninggal dunia dalam keadaan sihat dan ceria tetapi sakit sekejap sahaja. Bapa saya meninggal dunia dalam keadaan demam pada malam hari sebelum beliau pergi pada keesokkan paginya. Akhirnya, saya redha dengan pemergian mereka berdua dalam tempoh kurang daripada setengah tahun. Allah lebih menyayangi mereka, kita yang tinggal ini perlu berdoa dan menyedekahkan ayat-ayat suci Al-Quran kepada mereka. Mohon pembaca semua agar sudi untuk menyedekahkan surah Al-Fatihah kepada kedua-dua ibubapa saya yang berada di alam Barzakh.
Kenangan bersama ibu tidak mungkin dapat dilupakan. Betapa beliau berusaha sejak muda membesarkan kami dalam keadaan yang sederhana sahaja hidupnya pada hujung tahun-tahun 70-an. Ibubapa saya berbasikal ke tempat kerja kerana tidak mampu membeli kenderaan berenjin. Ke sana ke mari kami akan berjalan bersama sekeluarga, ke Tugu Negara, ke Taman Tasik Perdana, ke Muzium Negara, ke tempat beli belah, pasti akan bersama sehingga saya berkahwin 8 tahun yang lalu, itupun kami masih bersama sehinggakan salah satu sebab saya membeli sebuah Perodua Alza yang saya pandu sekarang adalah untuk bersama-sama keluarga. Malangnya, hanya 4 bulan sahaja Alza itu dibeli, ibu pula meninggalkan kami.
Kenangan masa lalu adalah penguat hubungan kami walaupun berlainan dunia sekarang. Kami tiga beradik masih di atas bumi sedangkan ibubapa kami sudah aman damai di alam 'sana'. Damailah kedua ibubapa saya di alam Barzakh yang saya tidak pernah sangka akan berlaku dalam masa yang terlalu sekejap. Tetapi Allah lebih menyayangi mereka berdua.
Al-Fatihah!
0 comments:
Post a Comment