Bagaikan Mimpi..

Serasa bagaikan mimpi sahaja pabila kehilangan kedua orang tua dalam tahun yang sama. Saya tidaklah pasti nasib anak-anak lain, cuma saya terasa benar kehilangan bapa pada bulan Februari dan ibu pula menyusul pada bulan Jun yang lalu bagaikan satu kejutan dan saya hampir tidak mempercayainya. Malahan, kedua-dua mereka pergi dalam keadaan sihat yang mengejutkan dan melukakan hati saya. Kini sudah 6 bulan bapa meninggalkan kami dan 2 bulan ibu juga meninggalkan kami.

Sehingga ke hari ini, 30 Ogos, saya masih lagi mengingati mereka. Saya merasakan mereka masih ada di rumah mereka. Namun apabila saya terasa mahu menghubungi mereka, sebenarnya mereka sudah tiada lagi di dunia ini. Nombor telefon mereka masih lagi disimpan di dalam telefon bimbit saya. Apabila saya bangun dari tidur, saya sedar yang saya sudah tiada ibubapa, menjadi anak yatim piatu pada usia yang agak muda, iaitu 35 tahun. Sedangkan rakan-rakan yang ibubapa mereka lebih tua masih lagi hidup segar bugar. Begitulah kesedihan seorang anak.

Saya tidak lepas daripada mendoakan mereka. Setiap hari saya membaca surah Al-Fatihah lalu saya sedekahkan kepada kedua ibubapa saya. Kekadang saya membacakan tiga empat kali Al Fatihah dan disedekahkan agar mereka mendapat sedekah itu. Semoga terang dan luaslah kuburan mereka. Saya masih lagi teringat betapa simpatinya saya melihat jenazah mereka di letakkan di liang lahad dan mulut mereka terpaksa mencium tanah. Begitulah nasib manusia, segagah manapun, apabila pergi buat selamanya, akan diletakkan di atas tanah di dalam kuburan juga.

Benar, kehilangan secara tiba-tiba bagaikan mimpi. Apabila membuka mata, saya sedar bahawa mereka telah pergi meninggalkan saya dan adik-adik saya buat selamanya.. Tinggallah kami di dunia ini meneruskan kehidupan yang serba mencabar ini. Saya sentiasa mendoakan agar malaikat Munkar Nangkir tidak menyoal dengan begitu garang malah dapat melayan mereka dengan penuh kasih sayang di alam barzakh.. Amin, Ya Rabbul 'Alamin..


0 comments:

Post a Comment

My Instagram