Kecantikan di Laman Sosial

Salam Cemerlang!

Barangkali ada dikalangan adik-adik yang mengagumi wajah sendiri begitu obses dengan proses 'membina dan memaparkan' wajah masing-masing. Wajah yang cantik jelita begitu menarik hati sendiri sehingga dibajai dengan pelbagai alatan di muka dan di gajet agar ia kelihatan lebih jelita. Ia kemudiannya dipaparkan di laman sosial bagi menarik lagi perhatian netizen untuk mengundang menjadi rakan dan mengundang minat serta perhatian. Para pelihat foto-foto cantik jelita mereka pula dapat 'mencuci mata' dan akan begitu tertarik melihat keindahan ciptaan Tuhan di wajah gadis-gadis tersebut (ya, artikel ini ditujukan kepada para gadis dan wanita muda).

Saya sendiri memiliki ramai rakan yang terdiri daripada gadis-gadis dan wanita-wanita muda seringkali dapat melihat paparan yang cuba ditonjolkan di laman sosial terutamanya Facebook. Dari situ, saya dapat membuat pengamatan bahawa kecantikan itu adalah eset penting bagi mereka yang mereka ingin benar tonjolkan hatta terpaksa menggunakan aplikasi di dalam telefon pintar masing-masing.

Mereka ingin benar menggunakan kecantikan wajah sebagai penarik kepada permulaan sesebuah persahabatan yang tidak jelas hala tujunya bahkan hanya untuk suka-suka pada masa foto wajah mereka itu dipaparkan. Mereka mungkin tidak memikirkan kesan pada masa depan yang mungkin berlaku akibat daripada tindakan mereka meletakkan foto wajah tercantik mereka. Mungkin hanya selepas beberapa tahun kemudian mereka mulai tersedar akan akibat daripada tindakan mereka dahulu?

Apa yang ingin mereka capai? Dan bagaimanakah nasib gadis-gadis lain yang tidak secantik mereka yang berasa estim diri mereka tidak setinggi estim diri para gadis yang terlalu cantik kerana memiliki wajah yang tidak secantik wajah para gadis cantik?

Apakah peranan para jejaka yang melihat foto-foto wajah gadis-gadis cantik tersebut? Adakah mereka ada keberanian untuk menegur gadis-gadis tersebut agar menutup kecantikan mereka dan menyimpan kecantikan tersebut untuk suami mereka nanti? Atau para jejaka tersebut menyimpan nasihat mereka lalu leka melayani paparan kecantikan yang ditunjukkan oleh gadis gadis cantik yang mereka lihat di dalam Facebook?

Para ibu bapa mestilah jelas akan hal ini lantas menjalankan tanggungjawab untuk memastikan anak gadis mereka tidak terlibat dalam gejala memaparkan wajah cantik. Sebenarnya ia adalah aset yang wajib disyukuri, disimpan dan tidak sewenang-wenangnya dipaparkan untuk menarik perhatian dan memulakan persahabatan yang tiada hala tuju tetapi hanya untuk dieksploitasi oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab.


0 comments:

Post a Comment

My Instagram