Berkunjung ke Kuala Terengganu

Saya sudah hampir 9 tahun tidak menjejakkan kaki ke Kuala Terengganu, sebuah bandar yang kini bertaraf Bandaraya tempat saya tinggal selama 2 tahun iaitu dari tahun 1991 sehingga 1993. Pada masa itu, bandar Kuala Terengganu tidaklah seperti sekarang yang menyaksikan pembangunan yang begitu pesat, sehinggakan saya amat terkejut apabila sampai di Kuala Terengganu. Stesyen bas utama yang dulunya terletak di Tanjung, kini telah berpindah berdekatan dengan stesyen bas lama (yang kini telah menjadi stesen teksi). Kunjungan kali ini melibatkan saya, isteri, anak, adik-adik saya dan ibu bapa saya. Kiranya inilah percutian keluarga yang julung-julung kali kerana jarang kami dapat bercuti bersama.

Apabila sampai di Kuala Terengganu lebih kurang pukul 5 pagi, saya dan keluarga terpaksa berada di stesyen bas sementara menantikan waktu pagi. Sehingga pukul 7, barulah kami bergerak ke hotel yang menjadi pilihan keluarga saya jika berkunjung ke Kuala Terengganu iaitu Hotel K.T Mutiara. Sebelum kami tiba di hotel tersebut yang perjalanannya hanya mengambil masa 5 minit jika berjalan kaki dari stesyen bas, kami sekeluarga telah singgah untuk bersarapan pagi di restoran kecil di sebelah hotel tersebut. Apalagi, nasi dagang lah yang menjadi pilihan saya.

Selepas selesai sarapan, kami telah berjalan kaki ke Hotel K.T Mutiara, menantikan kalau-kalau pekerja di bahagian kaunter membenarkan kami meletakkan beg. Pada hari itu, sekumpulan guru dari Pulau Pinang telah menginap di hotel tersebut, sementalahan mereka mendaftar keluar pada pagi itu, ada harapan untuk kami melelapkan mata sebentar walaupun bilik belum dikemas sesudah penghuni lama mendaftar keluar. Tetapi kami yang sudah puas tidur di dalam bas ekspres Transnasional terus bersiap-siap untuk ke Pasar Payang pula selepas kami dibenarkan meletakkan beg dan mandi di bilik hotel.

Pasar Payang merupakan kegemaran setiap pelancong yang mengunjungi Kuala Terengganu. Di sana banyak menjual barang-barang keperluan dan barang-barang cenderamata dari Terengganu. Batik wanita dan lelaki usah dinafikan, memang banyak sekali di jual di merata-rata pelusuk bandaraya. Dengan harga yang murah, lebih murah daripada yang dijual di Kuala Lumpur, mereka yang ingin menjalankan perniagaan batik bolehlah mengiktiraf Pasar Payang sebagai tempat mendapatkan stok!

Nasi dagang merupakan makanan kesukaan saya. Jika saya dan isteri pergi ke Pasar Malam Taman Melati, Kuala Lumpur untuk mendapatkan nasi dari pantai timur, isteri saya akan membeli nasi kerabu manakala saya sememangnya tetap akan membeli nasi dagang. Apabila sampai di Kuala Terengganu, nasi dagang jugalah yang akan saya beli. Begitu juga dengan keluarga saya, nasi dagang adalah pilihan. Nasi kerabu tidak pernah saya lihat semasa di Kuala Terengganu.

Perjalanan selama sehari itu memang mengasyikkan. Kami telah menjelajahi sebahagian Bandaraya Kuala Terengganu. Masalah pengangkutan menjadi kekangan kepada kami kerana kami ke sana dengan menaiki bas ekspres. Untuk menyewa kereta, mungkin tidak berbaloi kerana kami ingin menjadi pelancong yang berjalan kaki. Walaupun penat, berjalan-jalan di Kuala Terengganu memang menjadi kenangan yang manis kepada saya dan keluarga, terutamanya kepada isteri yang baru dua kali ke Kuala Terengganu. Pembangunan pesat di Bandaraya Kuala Terengganu adalah satu perkara yang patut dipuji!

0 comments:

Post a Comment

My Instagram