Setiap dari kita memiliki kisah lampau yang seronok dan tidak seronok untuk diingati. Kisah lalu adalah pengalaman hidup masa lalu yang pernah kita lalui. Ia dianggap sejarah hidup dimana kita boleh menjadikannya sebagai teladan dan jauhan. Perkara yang telah terjadi yang memberi kebaikan kepada kita haruslah kita jadikan panduan untuk kita mencipta lebih banyak kebaikan dan perkara yang tidak baik mestilah dijadikan ingatan dan sempadan. Bahkan, kita perlu melupakan kisah lalu sekiranyaa kisah lalu itu seringkali mengganggu dan membelenggu kehidupan kita.
Kita mempunyai keperluan untuk melupakan kisah lalu sekiranya kisah tersebut seringkali mengganggu langkah kita ke masa hadapan yang lebih cemerlang. Ini adalah satu perkara yang mesti dilakukan, takut-takut kalau jika kita terlalu mengingatinya, kita akan tersekat di satu kawasan masa untuk jangkawaktu yang lama. Sekiranya kisah itu sesuatu yang memalukan, maka cepat-cepatlah kita lupakannya kerana apa tujuan kita untuk mengingatinya lagi sedangkan kisah itu seringkali membuatkan kita rasa malu dan segan? Oleh itu, sebaiknya kita lupakan sahaja kisah-kisah yang memalukan yang pernah terjadi di dalam hidup kita.
Kisah-kisah sedih yang pernah menimpa kita wajar dijadikan kisah iktibar untuk kita meraih kejayaan yang lebih baik pada masa hadapan. Sekiranya kita pernah gagal di dalam peperiksaan, lupakan kisah sedih itu dan mulakan sesuatu semangat yang baru untuk mencuba dan meraih kejayaan yang lebih gemilang pada masa depan. Sudah banyak sekali kisah yang kita pernah dengar dimana seseorang yang tidak mendapat keputusan yang baik di dalam peperiksaan SPM, tetapi dengan semangat yang jitu, berjaya memperolehi keputusan yang amat baik di dalam peperiksaan STPM yang telah membuka peluang ke jalan menara gading dengan menggunakan sijil peperiksaan STPM tersebut. Kisah sedih wajar dilupakan dan digantikan dengan semangat yang kuat untuk tidak menghasilkan kisah sedih yang lain pada masa akan datang.
Kisah penganiayaan di pejabat semasa bekerja di syarikat lama (majikan lama) pula wajar dijadikan iktibar dan semangat untuk bangkit di syarikat yang baru. Kita tidak boleh tersekat dengan kisah-kisah penganiayaan itu bahkan kita seharusnya bangkit dan membuktikan bahawa kita bukanlah alat permainan yang boleh dijadikan bahan gurauan. Sesetengah dari kita pasti pernah melalui kisah sedih dengan majikan lama yang membuatkan kita terpaksa mengangkat kaki keluar dari syarikat itu, namun, kita tidak boleh mengingati lagi kisah itu dan diaplikasikan di tempat baru kerana kedua-dua tempat bekerja itu adalah berbeza. Kita khuatir jika kita masih dengan stigma lama dan takut kalau-kalau kita akan mengalami nasib yang sama di syarikat baru, kita akan terus tersekat dengan gaya bekerja yang lama. Kita susah untuk berubah. Perubahan adalah satu usaha untuk menjadikan diri kita berlainan daripada apa yang kita pernah lalui atau lakukan pada waktu yang lalu.
Dengan itu, kita perlulah berani melangkah ke hadapan, dan bukanlah sentiasa memandang ke belakang. Sejarah boleh digunakan untuk membangunkan diri kita, tetapi jangan biarkan perkara yang tidak baik yang pernah berlaku pada masa lalu sebagai tali yang menyukarkan kita untuk bergerak ke hadapan. Tinggalkan kenangan lalu itu pada masa lalu! Jangan dibawa ia bersama ke masa depan melainkan kisah suka dan gembira yang kita boleh jadikan ukuran untuk mencapai kejayaan yang lebih gemilang pada masa depan!
0 comments:
Post a Comment