Mencintai Kehidupan..

Hidup ini terlalu singkat untuk disiakan. Memandangkan kita akan hidup selama purata 70-80 tahun sahaja, adakah kita mahu mensia-siakannya? Rugi! Itulah yang akan kita dapat jika kita tidak merancang hidup kita dengan baik. Kebanyakan dari kita hidup seperti air sungai sahaja. Langgar tebing sana langgarlah..Langgar tebing sini langgarlah..Tanpa sedar, sudah sampai ke kuala. Tidak tahu apa yang telah berlaku.
Seindah pelangi dipandang, indah lagi hidup di dunia ini. Di sinilah tempat bercucuk tanam untuk mendapatkan hasilnya di akhirat nanti. Maka, seawal usia remaja lagi, terbitkan azam dan cuba untuk memiliki sikap yang positif, di mana ia akan membias keluar kepada perlakuan yang baik. Jadilah orang yang sentiasa tersenyum dan melihat sesuatu dengan adil dan saksama. Janganlah mencari musuh kerana ia perbuatan yang sia-sia. Akuilah kesilapan kecil dan elakkanlah daripada menjadi seorang yang terlalu ego.
Menjadi orang yang boleh memberi kebaikan kepada orang lain adalah sebaik-baik pekerti. Ini boleh dilakukan dengan cara merendah diri, memandang kebaikan di dalam keburukan, mencari hikmah daripada sesuatu yang terjadi dan berbaik sangka. Apatah lagi kehidupan yang indah ini tidaklah patut disia-siakan dengan melakukan perkara yang tidak memberi keuntungan. Sebagai contoh, mengapa perlu menjadi samseng jalanan (istilah baru bagi mat rempit) yang memungkinkan mereka disumbatkan di dalam penjara sedangkan lebih baik berehat dirumah membantu ibu dan ayah? Mengapa perlu berlumba dan merebut sesuatu yang tidak sama dengan nilai nyawa yang tidak terharga? Lebih baik tidur di rumah daripada berlumba dan menjadi samseng jalanan.
Apa-apa sahaja yang terjadi, asalnya dari hati dan pendirian minda. Jika kita memilih untuk menjadi seorang yang baik dan terhormat, kita boleh menjadi seperti itu. Menjadi nakal sama sahaja susahnya dengan menjadi baik (merujuk kata-kata Dr. H.M Tuah), jadi, lebih baik kita pilih untuk menjadi orang yang baik. Politik pejabat biarlah membawa kebaikan, bukannya perpecahan. Pilihlah untuk mencintai kehidupan kita yang sementara ini supaya boleh memberi manfaat kepada orang lain..

0 comments:

Post a Comment

My Instagram