Mentaliti Dunia Korporat..

Meniti dunia korporat sepanjang tempoh perkhidmatan merupakan satu keseronokan bagi sesetengah individu tetapi tidak begitu disukai oleh sesetengah individu yang lain. Berada di dalam ‘rat race’ mengejar keuntungan dan wang, dan mengorbankan kemewahan masa adalah perkara berbeza bagi kita. Sesetengah dari kita amat kagum dengan kehidupan dunia korporat yang menuntut pakaian berjenama mahal, cufflink, suit berharga ratusan ringgit, skirt dan blaus yang terkini dan pelbagai penampilan yang memang menjamin kenaikan pangkat bagi sesetengah ketua yang hanya memandang kepada luaran. Selebihnya, para pekerja yang mementingkan kesederhanaan tetapi menumpukan perhatian kepada kerja, tidak akan dapat bertahan lama!

Bagi mereka yang ingin menyertai perlumbaan di dalam dunia korporat, mereka mestilah menyediakan diri mereka anggun luar dan dalam. Kereta berjenama dan terkini juga diambil kira, tak usah memandu kereta kecil yang murah. Bersedialah untuk memakai kasut dari rumah sehingga ke rumah pada waktu malam! Tutur kata bahasa rojak mesti menjadi kaedah komunikasi di pejabat. Kalau boleh, sesame kita berbual dalam bahasa asing! Itu semua adalah lumrah, bahkan hasil kerja yang sederhana tidak begitu diambil kira, asalkan berwajah manis dan pandai menyusun tuturkata. Jika anda seorang eksekutif di jabatan sokongan yang hanya bekerja dari pagi sehingga petang did alam bilik belakang, bersedialah untuk berada di sana untuk suatu tempoh yang lama atau ketika kegawatan, anda adalah pekerja yang diminta secara terhormat untuk pergi.

Para pekerja yang bercermin mata tebal dan menyisir rambut lurus rapi, senyap dan tidak pandai berpolitik pejabat tetapi mampu menghasilkan kerja yang mengagumkan pastinya berada di tepi-tepian sahaja. Imej korporat amat diperlukan walaupun kerja yang dihasilkan tidak seberapa. Asalkan pandai bergurau dan pandai mengambil hati ketua, itu sudah memadai. Apakah nasib individu yang tidak mementingkan penampilan, asalkan kemas tetapi mampu menghasilkan hasil kerja yang begitu dahsyat? Seperti yang diceritakan di atas, pastinya mereka ini hanya akan menjadi orang suruhan kepada mereka yang pandai berpolitik pejabat, pandai bercakap, manis mulut, tetapi hanya menghasilkan output yang sederhana sahaja.

Jika kita lihat kepada mereka yang hanya mementingkan hasil kerja, penampilan diri merupakan perkara kedua yang mereka akan ambil perhatian. Baju dan seluar kerja hanya di beli di kedai yang murah-murah sahaja, asalkan nampak cantik dan kemas. Masakan tidak, mereka tidak ada masa untuk memikirkan mengenai penampilan diri sebaliknya hanya mementingkan kerja yang perlu disiapkan. Ada yang datang ke tempat kerja dengan kereta kompak sahaja, bukan perlu sangat memandu kereta sedan berjenama terkenal dari Jepun sahaja.

Ada yang suka duduk di belakang menyiapkan kerja dan tidak berapa gemar berhadapan dengan pelanggan, akan diketepikan dan memang tidak dikenali sangat di dalam sesebuah organisasi tersebut. Para pekerja yang menghasilkan kerja dari bilik belakang hanya akan menjadi orang suruhan kepada mereka yang berada di barisan hadapan, yang pastinya setiap hari bertemu pelanggan. KPI mereka dinilai pada tahap sederhana sahaja.

Bilakah dunia ini akan mengiktiraf pekerja senyap tetapi berwibawa di dalam menghasilkan kerja?

0 comments:

Post a Comment

My Instagram