Berkunjung Ke KL SOGO

Sogo merupakan pusat membeli-belah kegemaran saya sejak zaman remaja lagi. Pertama kali saya mengunjungi Sogo ialah pada hari pembukaannya iaitu pada tahun 1994 (saya tidak ingat tarikhnya). Pada masa itu, iklan di radio ada menyiarkan hebahan mengenai Sogo dengan menyelitkan satu ayat yang begitu sinonim dengan Sogo, iaitu "Sogo Besar!". Masakan tidak, pusat beli belah ini adalah setinggi lapan tingkat dan memuatkan pelbagai jenis barangan keperluan untuk golongan pertengahan dan mewah. Juga terdapat air terjun setinggi 3 tingkat!

Perubahan masa telah banyak mengubah Sogo menjadi KL Sogo. Penambahbaikan dilakukan diman-mana bagi menggalakkan pengunjung datang ke Sogo. Di awal pembukaan Sogo, setiap lif akan dikawal oleh gadis-gadis manis berpakaian merah, tetapi kini tiada lagi. Pada setiap detik jam, akan ada persembahan oleh patung-patung yang bergerak-gerak di jam utama, tetapi kini tiada lagi. Terlalu banyak kenangan saya di Sogo. Menjadi golongan pertengahan seperti saya ini, Sogo adalah tempat yang sesuai untuk saya dan saya juga tiada masalah untuk berkunjung ke pusat membeli-belah ini.

Kunjungan saya semalam ke Sogo bersama keluarga adalah kerana saya singgah di Kompleks Pertama di sebelah Sogo untuk membeli lensa Canon 50mm f1.8 II. Ibubapa saya selepas itu hendak ke Pasar Malam Jalan Tuanku Abdul Rahman sementara saya bersama isteri, anak dan dua-dua adik saya pergi ke Sogo. Kebetulan Sogo mengadakan jualan murah sehingga menawarkan diskaun sebanyak 70%. Ia merupakan rahmat kepada penggemar jualan murah seperti saya ini kerana dengan jualan murah, saya dapat membeli pakaian pejabat dengan harga yang amat murah! Saya berasa pelik juga apabila Sogo kerap mengadakan jualan murah, boleh dikatakan selang seminggu atau dua, jualan murah akan bermula semula. Tetapi itu tidak mengapa, kerana Sogo telah memenuhi kegemaran ramai orang, iaitu 'jualan murah'!


Saya dan isteri sempat membelikan tali pinggang untuk anak kami di Sogo. Harganya cukup murah iaitu RM11.90 sahaja. Banyak pakaian anak saya dibeli di Sogo. Dari semurah RM10 untuk sehelai kemeja T sehinggalah ke gaun yang berharga RM100, semuanya dapat dibeli di Sogo. Terlalu ramai pengunjung ke Sogo, sementelahan ia terletak di gugusan pusat beli belah di Jalan Tuanku Abdul Rahman, ia memberi kelebihan kepada Sogo dan kesenangan kepada orang ramai. Setelah berpanas dan berpeluh di bazaar menjual kain dan tudung, setidak-tidaknya apabila memasuki Sogo, akan terasa nyaman dengan pendingin hawa yang ditawarkan oleh Sogo!


Setelah penat membeli barangan untuk anak kami, dan melihat barangan lain yang juga menarik, saya dan isteri serta anak kami singgah di Medan Selera di tingkat 6. Pada masa itu, siaran TV menyiarkan siaran ulangan perlawanan bolasepak di antara Chelsea dan Liverpool yang berkesudahan dengan keputusan 4-4 tempohari. Saya telah membeli air kegemaran saya iaitu air mineral sebanyak 3 botol yang berharga RM4.20. Itulah air paling sedap didunia selepas air zam-zam mengalahkan air-air bergula yang lain! Setelah hilang penat dan dahaga pun hilang, kami turun semula ke tingkat-tingkat yang lain untuk melihat barangan-barangan yang lain sebelum pulang ke kawasan rumah kami di Gombak untuk makan malam. Perjalanan semalam cukup memuaskan hati, tetapi penatnya, hanya Allah sahaja yang tahu.

0 comments:

Post a Comment

My Instagram