Perlu ke Ekzos Besar dan Bising?

Sejak bertahun-tahun industri aksesori kereta telah berkembang dengan pesatnya dan penyumbang utama kepada kepesatan industri tersebut ialah 'ketidakbijakkan' ramai pemain kereta baru bermain kereta! Industri ini amat bergantung kepada pemain-pemain baru arena kereta yang tidak tahu mengenai kereta tetapi mahu menjadikan kereta mereka sebagai supercar di jalanraya. Mereka yang baru ini akan menjadikan kereta mereka sebagai kereta berhias kesan daripada racun yang disebarkan oleh pekerja-pekerja di sesebuah kedai aksesori. Tidak terkecuali, menukar ekzos asal kepada ekzos yang lebih besar dan bising.

Ibubapa tidak harus dipersalahkan jikalau anak-anak mereka menukar ekzos asal kepada ekzos besar yang menghasilkan bunyi yang tidak perlu, sebaliknya, anak-anak mereka itulah yang patut dipersalahkan kerana telah melakukan satu pembaziran dengan hasil yang tidak seberapa. Mereka ini tidak belajar mengenai teknikaliti sistem ekzos lalu menukar ekzos hanya kerana termakan kata-kata penyelia di sesebuah kedai ekzos. Perlu diketahui, penyelia-penyelia itu hanya mahu menambahkan hasil jualan harian dan atas sebab itulah mereka akan melakukan apa sahaja untuknya termasuk menggoda anda untuk menukar sistem ekzos yang salah. Hasil yang diperolehi daripada proses penukaran tersebut ialah bunyi yang bising dan bingit, tetapi kereta bergerak semakin perlahan.

Peningkatan saiz paip ekzos tidak boleh terlalu besar, cukup sekadar menukar paip yang lebih besar sedikit sekitar 0.2 inci daripada saiz asal dan perlu juga melihat kepada CC kereta dan jenis enjin. Jika peningkatan saiz yang terlalu besar dilakukan, enjin akan terlalu lawas dan kereta menjadi underpower. Ramai yang melakukan peningkatan kerana inginkan perhatian daripada bunyi ekzos yang bising dan bingit tetapi sebenarnya, tiada siapa pun yang mahu mempedulikan kereta mereka itu, malahan ada yang menyumpah seranah mereka kerana bunyi yang bising itu mengganggu mereka. Malahan, pemilik-pemilik kereta ini sanggup menyeksa isteri dan ibu mereka yang sama-sama menaiki kereta tersebut dengan bunyi yang bising itu, tetapi mereka tidak mempedulikan semua itu, asalkan mereka puas hati dengan ego mereka itu.

Kereta Proton Wira saya sebelum ini juga mempunyai sistem ekzos yang lebih besar daripada yang dijual di kedai-kedai ekzos yang suka memujuk itu. Jika ada Proton Gen2 berenjin asal tetapi menukar paip ekzos sehingga 2 inci dan peredam bunyi yang besar, kereta saya mempunyai saiz paip yang lebih besar daripada itu iaitu 2 inci di depan, 2 setengah di bahagian tengah, dan 3 inci dari tengah sehingga ke belakang! Tetapi, bunyinya tidak terlalu bising dan bingit kerana kereta lama saya itu bernadikan enjin Turbo GSR 4G93T. Penukaran ekzos itu adalah untuk keperluan enjin bagi memastikan turbin tidak rosak kalau saya menggunakan sistem ekzos yang asal, kerana dikhuatiri tidak lawas. Sepatutnya, sebarang penukaran ialah atas desakan keperluan, bukanlah kerana hanya mahu menghabiskan gaji bulanan kepada perkara yang tidak perlu.

Pelajarilah sistem ekzos sebelum melakukan sebarang peningkatan ke atasnya. Terlalu banyak artikel di dalam internet untuk dibaca. Mengapalah mengganggu ketenteraman orang lain dengan bunyi yang menyusahkan itu? Yang rugi bukanlah orang lain, tetapi si pemilik kereta berekzos bising itu, kerana sudahlah kereta menjadi bertambah perlahan, bunyi pula bising, dan kos untuk petrol bertambah kerana 'ketidakbijakkan' mereka terhadap sistem ekzos..

Sistem ekzos kereta Proton Wira GSR Turbo saya. Straight Piping! Kini kereta ini sudah berpindah milik.

0 comments:

Post a Comment

My Instagram