Lunch di Nando's PJ

Tengahari tadi saya baru makan tengahari di Nando’s di Petaling Jaya. Itulah pertama kali saya makan di Nando’s. Saya makan di sana bukanlah kerana saya mahu makan yang mahal-mahal, tetapi kerana rakan sekerja yang mahu belanja saya sempena lagi dua hari saya akan meninggalkan institut penyelidikan tempat saya bekerja sekarang. Kami pergi ke sana hanya 3 orang, dan menaiki kenderaan MPV salah seorang rakan yang mahu belanja saya itu.

Saya membawa bersama kamera point & shoot milik isteri saya, tetapi malangnya sampai sahaja di restoran tersebut, baru saya sedar bahawa kad SD kamera tersebut tertinggal di pejabat! Langsung saya tidak dapat merakamkan peristiwa tersebut. Tetapi tidak mengapa, takut juga kalau-kalau rakaman saya nanti mengganggu bual bicara saya bersama dua orang rakan saya itu. Kalau tidak, boleh juga saya masukkan di dalam posting kali ini.

Memasuki sahaja Restoran Nando’s, kami disambut oleh alunan muzik sedikit rancak. Dan suasana restoran tersebut memang mengagumkan, mungkin kerana restoran tersebut baru dibuka, maka ia bersuasana nyaman dan selesa. Sebelum ini saya banyak mendengar bahawa harga di restoran itu amat mahal, tetapi setelah diberikan menu, saya dapati bahawa harga yang ditawarkan adalah sederhana sahaja. Dan ia lebih baik daripada restoran lain kerana ayam yang disediakan dengan cara panggang di atas kuali rata, bukan goreng atau dibakar dengan api dari dapur gas. Dan ia menawarkan sos yang unik, seperti pedas-pedas masam.

Saya telah memesan setengah ayam beserta nasi dan sayur panggang juga. Memang menyelerakan. Harganya cuma RM20 untuk set yang saya pesan. Memandangkan saya juga on diet air, saya memesan air mineral, cuma RM3.50 untuk botol kecil (tidak pasti pula kalau ada botol besar). Sos yang disediakan di setiap meja boleh dituang sekehendak hati pelanggan, ianya percuma. Dan terdapat taraf kepedasan setiap ayam yang dipesan samada mild, hot atau extra hot. Dua orang rakan saya memesan air teh limau nipis, dan ia adalah berkonsepkan bottomless, dimana anda tidak akan nampak bawah gelas anda kerana para krew restoran akan sentiasa menambah air anda sehingga anda meninggalkan meja. Saya tidak pasti ia tertakluk kepada beberapa jenis air sahaja.

Tepat pukul 2 petang, setelah berbual-bual bermacam perkara, kami pun meninggalkan restoran tersebut dan menuju ke pejabat. Terima kasih kepada Mr. Qamar kerana telah belanja saya dan Puan Syarina makan tengahari di restoran berkonsepkan makanan segera eksklusif itu.

0 comments:

Post a Comment

My Instagram