Menjaga kesihatan memang sering diabaikan oleh kebanyakan orang. Apa yang boleh dilakukan? Kebanyakan kafe dan restoran akan menjual makanan yang boleh menguntungkan mereka. Adakah mereka sanggup menjual kentang bakar, salad atau nasi basmathi? Tidak! Mereka akan menjual nasi dengan segala jenis kuah dari hasil santan, lauk bergoreng dan minuman yang mengandungi gula yang tinggi. Itulah kesukaan orang ramai! Jarang saya terjumpa dengan orang yang makan salad pada waktu tengahari.
Mungkin entri ini adalah ingatan kepada anda dan saya sendiri. Saya respon kepada artikel di dalam akhbar tersebut. Walaupun pada mulanya terasa kelainan apabila makan tengahari dengan air suam seperti zaman di ITM (UiTM) dulu pada mulanya, tetapi sekarang air suam adalah air paling sedap di dunia bagi saya! Ia menghilangkan dahaga, mengurangkan penggunaan tandas secara terkejar-kejar dan menyegarkan. Pada kebiasaannya saya akan meminum air limau ais yang juga berkhasiat, tetapi kebanyakan restoran akan menyediakan air limau ais bergula yang tidak begitu baik untuk kesihatan. Jalan tengah ialah mengambil air suam sahaja!
Sekarang ini zaman orang sibuk ke gim. Memang benar, untuk menguruskan badan, lebih baik menggunakan jalan yang natural, bukan menggunakan pil-pil peramping badan yang tidak diketahui selamat atau tidak. Mungkin ianya selamat pada waktu sekarang, tetapi ada juga yang kalau diberhentikan pengambilannya, si pemakan akan menjadi bulat semula. Itu adalah tragedy! Jalan terbaik ialah menurunkan berat badan dengan cara senaman dan mengekalkan cara itu untuk selamanya. Bagi yang tidak mampu pergi ke gim, belilah kasut jogging dan berjogginglah 3 kali seminggu.
Ikan bakar, sayur kosong dan nasi tanpa kuah!
Tengahari tadi saya tidak menyentuh nasi, tetapi isteri saya yang lebih kurus dari saya tidak mengapa kalau makan nasi. Nasi mengenyangkan, dan selepas itu tidak perlulah menambah makanan lain kerana perut akan menjadi penuh dengan makanan. Ada juga yang yang tidak makan nasi tetapi hanya mengambil lauk. Walauapapun makanan yang kita ambil, ia mestilah kurang gula, kurang garam, kurang lemak, semuanya mesti sederhana. Hidup yang selamat ialah dengan mengambil sesuatu secara sederhana.
Dengan perut yang korporat ini, saya bersetuju bahawa saya juga seperti orang lain perlu melakukan sesuatu untuk menjaga kesihatan. Ukur lilit perut yang berlebihan adalah sesuatu yang bahaya kepada kita. Bukankah segala jenis macam penyakit adalah datangnya dari perut? Jadi, apa yang memasuki perut mestilah dikawal dan dijaga. Sekali sekali makan makanan yang 'sedap' tidak mengapa, tetapi janganlah sampai setiap hari makan nasi beriani!
0 comments:
Post a Comment