Pesta Buku 2009

Berkunjung ke Pesta Buku merupakan satu kesukaan saya setiap tahun. Ia diadakan di tempat yang mudah dan tidak ramai orang, iaitu di PWTC. Berbanding PC Fair yang diadakan pada minggu lepas yang menyaksikan kesesakan melampau, Pesta Buku memang menampilkan kelainan kerana ramai yang mengunjunginya, tetapi tidak terlalu sibuk seperti PC Fair. Ia menjadi amalan saya dan isteri sejak kami berada di UiTM lagi. Sebelum itu, semasa saya kecil (tahun-tahun 80-an), bapa saya juga akan membawa saya dan keluarga ke Pesta Buku yang pada masa itu diadakan di Changkat Pavilion, Kuala Lumpur (berdekatan dengan Stadium Merdeka).

Saya datang ke Pesta Buku agak lewat semalam iaitu pada waktu petang selepas makan tengahari, lebih kurang pada pukul 3:45 petang. Kebetulan kedua-dua adik saya agak lapang waktu senggang mereka, saya ajak mereka pergi bersama. Setidak-tidaknya anak saya yang rapat dengan mereka, senang dijaga. Sebelum pergi ke Pesta Buku, kami semua telah mengunjungi kedai Foto Selangor di Kompleks Pertama untuk membeli kamera digital point & shoot. Kamera tersebut adalah kamera mudah (tidak seperti DSLR saya) dan cuma berharga RM490 sahaja dan percuma kad SD 2GB, beg kecil dan bateri. Kamera tersebut telah dioptimumkan penggunaannya di PC Fair tersebut. Lebih mudah menggunakan kamera tersebut berbanding penggunaan kamera DSLR saya yang agak berat. Sebenarnya kamera tersebut saya hadiahkan kepada isteri saya tetapi semalam saya telah merasmikannya dulu. :)


Saya sedang membaca buku kanak-kanak

Kami menaiki LRT ke Pesta Buku. Kereta saya letakkan di tempat letak kereta berhadapan dengan Komplek Campbell di Jalan Dang Wangi. Sampai sahaja di stesen PWTC, hujan renyai-renyai pun turun. Tetapi kami masih boleh mengharungi ke seberang jalan di PWTC kerana hujan tidaklah terlalu lebat. Di pintu masuk, seperti biasa ada sekumpulan orang memungut derma dengan mengedarkan buku-buku agama (ikhlas tetapi diminta bayaran pula). Setelah melalui kumpulan pemungut derma itu, kami terus naik ke tingkat atas. Dapatlah beberapa buku untuk anak saya, isteri saya dan tidak lupa juga kedua-dua orang adik saya yang membeli novel. Akhirnya saya juga telah membeli buku dari penulis kesukaan saya iaitu Saudara Azizi Ali, seorang juruterbang yang bertaraf jutawan yang kini giat menerbitkan buku-buku mengenai pengurusan kewangan dan motivasi. Saya telah membeli buku-buku beliau sejak buku 'Millionaire Are From Different Planet'


Saya (kanan) dan Saudara Azizi Ali

Untuk menghilangkan dahaga, saya terpaksa minum di sebuah gerai sementara yang dibuka di tingkat atas Pesta Buku. Saya tidak makan, hanya minum sahaja. Segelas kordial cuma RM1 sahaja. Kebetulan saya masih kenyang pada waktu itu. Dan yang pasti, harga makanan yang ditawarkan di Pesta Buku agak tinggi sehingga saya rasa tidak berbaloi untuk menjamu selera di situ.
Contoh harga makanan di Pesta Buku
Saya dan keluarga keluar dari Pesta Buku lebih kurang sebelum waktu Maghrib. Perjalanan semalam memang memuaskan hati kerana Pesta Buku adalah satu tempat di mana setiap orang mesti menemui buku kesukaan mereka. Tidak seperti pesta lain yang kadang-kadang kita keluar dengan tangan kosong, Pesta Buku adalah pesta yang menyeronokkan kerana ia berorientasikan medium penyimpanan ilmu yang boleh digunakan sampai bila-bila. Keadaan yang tidak sesak juga membuatkan perjalanan mengharungi Pesta Buku menjadi sesuatu yang relaks, menenangkan, tidak terlalu tergesa-gesa dan menyeronokkan.

0 comments:

Post a Comment

My Instagram