Shaolin Soccer

Malam tadi TV3 telah menyiarkan tayangan filem Hong Kong, iaitu Shaolin Soccer. Cerita itu boleh dikatakan ramai orang tahu bagaimana jalan ceritanya. Walaupun ianya sebuah filem komedi terlampau, dengan adegan-adegan tidak masuk akal, lebih hebat daripada kung fu Shaolin yang pernah ditayangkan semasa kita kecil dahulu (70-80an), tetapi saya menontonnya dari perspektif yang berbeza. Beberapa diolog dan olahan cerita filem tersebut sebenarnya mengandungi maksud motivasi yang nyata.

Ada beberapa dialog yang sememangnya memberikan semangat kepada penontonnya! Dialog jurulatih Kaki Emas Fung yang menyatakan bahawa perlawanan bolasepak adalah satu peperangan merupakan satu dialog yang baik. Sememangnya kita mesti menganggap bahawa setiap sesuatu tugasan adalah satu peperangan yang mesti dimenangi. Walaupun di dalam sesuatu pertandingan ada pihak yang menang, ada yang kalah dan ada juga yang berkesudahan dengan keputusan seri, tetapi peperangan mesti dilakukan atau dijalankan dengan penuh dedikasi. Ramai orang yang berjaya memegang prinsip The Art of War oleh Sun Tzu. Kerana peperangan adalah sesuatu yang dimenangi. Walaupun boleh kalah, tetapi perjuangan mesti ditempuhi dan kita tidak boleh menyerah kalah sebelum berjuang!

Kesungguhan Kaki Besi Sing mempromosikan seni mempertahankan diri kung fu Shaolin perlu diberi pujian. Walaupun pada mulanya beliau mencari-cari pekerjaan yang boleh mengadaptasikan kung fu seperti nyanyian, cara meletak kereta, mengelakkan bala bencana kulit pisang di atas jalanan, tetapi dengan hasil gigih beliau, akhirnya beliau menemui cara yang boleh mempromosikan seni mempertahankan diri tersebut iaitu melalui bolasepak. Setelah menemui jalan yang sebenar-benar bagus, maka beliau tanpa menoleh ke belakang, terus berjuang di dalam bidang barunya itu sehingga berjaya membawa pasukan bolasepaknya menjuarai pertandingan bolasepak Piala China!

Cara beliau tidak mahu memakai kasut yang koyak dan akan membuang kasut beliau yang telah koyak menampakkan sedikit sikap ego tetapi mungkin cara itulah beliau tidak menoleh ke belakang. Seperti biasa, untuk merencanakan kejayaan, penampilan diri adalah perkara yang perlu dititikberatkan di dalam kehidupan seharian. Orang akan menaruh kepercayaan pada pandangan pertama (first sight) sebelum mengenali siapa kita. Pandangan pertama adalah sesuatu yang perlu diberi penekanan serius di dalam mengharungi kehidupan. Selebihnya, kita perlu mengekalkannya sampai bila-bila pun. Walaupun akhirnya beliau tetap memerlukan kasut lama beliau kerana kasut berjenama yang beliau pakai sudah koyak, namun itulah sesuatu yang nostalgik dalam perencanaan kejayaan beliau kerana dengan kasut tersebut beliau dapat menjaringkan gol kemenangan. Moralnya di sini ialah, sudah dapat gading bertuah, tidak semestinya tanduk sudah tidak berguna.

Saya ada juga menonton filem Stephen Chow walaupun tidak mengingati filem-filem sebelum Shaolin Soccer dan Kung Fu Hustle. Terdapat banyak motivasi yang boleh kita perolehi bila menonton filem beliau. Carilah sesuatu permata di dalam satu lautan yang luas itu, pasti kita akan ketemu dengannya satu hari nanti.

0 comments:

Post a Comment

My Instagram