Suatu ketika dulu saya suka bermain dengan kereta. Bermain kereta disini membawa maksud gila kereta. Kereta dibina di bahagian luar dan dalam termasuk juga bahagian enjin demi untuk kepuasan sendiri. Dua kereta saya sebelum ini, Daihatsu Charade Aura dan Proton Wira kedua-duanya telah mengalami perubahan ekstensif sehingga melibatkan penukaran enjin dari enjin standard kepada enjin berkuasa Turbo. Rakan-rakan semasa di UiTM dulu nyata terkejut besar kerana semasa di UiTM, saya tidak memiliki lesen memandu! Hanya selepas bekerja baru saya belajar memandu dan mendapatkan lesen memandu.
.jpg)
Setelah hampir setahun mendiamkan diri dari arena kereta, iaitu tidak mengubahsuai kereta kerana terlalu asyik dengan bermain kamera DSLR, awal bulan lalu terdetik di hati saya untuk kembali bermain kereta. Tetapi kali ini insya Allah saya akan menjadikan penukaran enjin perkara terakhir yang akan saya lakukan kerana tiada keperluan untuk berbuat demikian. Penukaran enjin untuk menjadikan kereta lebih laju adalah sia-sia, kerana jalanraya di Malaysia ini hadlajunya cuma 110km/j sahaja. Melainkan hendak laju kerana pick up, itu tidak mengapa. Barangkali usia saya bukanlah 20-an lagi, maka kereta adalah alat untuk bersiar-siar dan merehatkan minda, bukannya dengan tujuan yang terpesong iaitu untuk laju semata-mata.
.jpg)
Terdetik di hati saya untuk bermain kereta adalah kepuasan. Sememangnya kereta tidak mampu memberi apa-apa pulangan wang seperti bermain kamera DSLR kecuali jika anda adalah pelumba kereta, tetapi ada sebabnya untuk saya berbuat demikian. Sebenarnya, tahukah anda bahawa kereta adalah sesuatu yang perlu dijaga dan dipelihara. Dalam erti kata lain, perlu ada peruntukan untuk maintenance kereta. Jadi, untuk mereka yang memiliki kereta yang berusia 4 tahun ke atas, perlu ada wang untuk menjaga dan memelihara kereta. Tempat yang sesuai untuk menjaga dan memelihara kereta adalah BENGKEL. Seperti bermain dengan psikologi, kebanyakan pemilik bengkel akan memastikan anda berbelanja banyak untuk menukar itu dan ini, walaupun kadangkala sesuatu yang perlu ditukar itu tidak perlu ditukar pun pada waktu itu. Kerana hendak mengejar jualan, maka mereka akan mencari setiap kesalahan dan kerosakan di setiap inci kereta anda. Mereka ini hanya melihat kepada jenis kereta. Mereka tidak akan banyak cakap sekiranya kereta anda itu kereta Turbo atau kereta yang lengkap dengan kit badan kereta. Akhirnya, mereka yang memiliki kereta 'standard', akan diminta untuk menukar itu dan ini, kerana pada anggapan mereka, kereta yang 'standard' dimiliki oleh orang yang tidak berapa tahu mengenai kereta berbanding mereka yang memiliki kereta bernadikan enjin Turbo atau kereta yang lengkap kit badan keretanya.
Oleh sebab itu, ada keperluan juga untuk menjadikan kereta lari dari imej standard kerana jalanraya walaupun bukan untuk berlumba, tetapi ramai juga kaki buli jalanraya yang akan membuli kereta-kereta standard. Berlainan pula dengan kereta yang memang mahal atau kereta yang 'ranggi', jarang ada yang mahu mengusik mereka. Jadi, sedikit sebanyak, perlu juga wang disalurkan kepada kereta. Memang benar, kereta sebenarnya tidak boleh dibiarkan begitu sahaja. Ia perlu juga mendapat perhatian. Jika kita memiliki hobi lain seperti fotografi, memancing dan sebagainya, kereta tidak boleh diabaikan kerana setiap kerosakan yang tidak diperbaiki, ia akan melarat kepada kerosakan yang lain pula. Cegah sebelum parah! Itulah yang perlu dilakukan terhadap kereta. Jika ada wang yang lebih, cantikkan kereta anda supaya persepsi pemilik bengkel terhadap anda tidaklah terlalu rendah. Saya sendiri pernah melihat seseorang yang tidak berapa tahu mengenai kereta, diminta untuk menukar speaker belakang keretanya kerana pemilik kedai aksesori itu beranggapan bahawa speaker kereta itu sudah lama dan tidak berfungsi dengan baik. Penukaran speaker itu bukanlah kerana speaker lama sudah rosak, tetapi ia dianggap lama oleh pemilik kedai. Lalu pemilik kereta itu mengikut sahaja dan menurunkan tandatangan pada slip transaksi kad kredit tersebut. Nyata sekali permainan kebanyakan peniaga yang menjalankan perniagaan berasaskan kereta!
Jadi, buat apa yang patut untuk diri anda dan kereta anda! Janganlah kerana takut rugi, anda mendapat kerugian lain pula..
.jpg)
0 comments:
Post a Comment