Saya selalunya tidak menghadapi masalah dalam membuat keputusan. Pada kebiasaannya, yang membuatkan keputusan itu terlalu rumit untuk diambil ialah jika kita mengambil kira input daripada orang lain. Kita perlu mengambilkira apakah input yang diberikan sebelum kita dapat mengambil keputusan. Keputusan yang melibatkan manusia memang sukar, kerana ini akan melibatkan orang yang terlibat dengan keputusan itu. Mungkin juga orang itu tidak kisah atau membantah setiap keputusan yang kita (ketua) buat.
Selalunya saya memberikan keputusan yang terus kepada setiap permasalahan yang remeh berdasarkan kepada pengalaman saya selama 8 tahun di dalam bidang keperpustakawanan. Kadangkala, keputusan yang melibatkan pengurusan memang agak payah untuk diberikan pada masa itu juga dan kita perlu memikirkan sedalam-dalamnya sebelum sesuatu keputusan boleh diambil. Persekitaran dan polisi sesebuah tempat juga perlu diambil kira sebelum sesuatu keputusan itu dapat dibuat. Malahan, keputusan masih tidak boleh ditentukan walaupun ianya memakan masa berhari, berbulan, mahupun bertahun.
Saya menghadapi cabaran untuk membuat keputusan yang bagi saya mudah untuk ditentukan, tetapi menjadi susah apabila ia melibatkan input daripada orang lain. Masakan tidak, sekiranya saya membuat keputusan, ia melibatkan pula keinginan orang lain. Masalah ini bermula apabila pihak pengurusan sumber manusia ada menganjurkan kursus teknikal penulisan laporan dimana kedua-dua staf saya mahu menyertainya. Jika dipilih seorang, seorang lagi mahu juga menghadirinya. Jika kedua-dua staf saya itu menghadirinya, adakah saya yang akan menjaga kaunter Pusat Sumber Pengetahuan kami itu? Saya mungkin tidak sampai kepada meminta pandangan dari ketua saya berkenaan perkara ini kerana menurut salah seorang daripada staf saya, kedua-dua mereka boleh menghadiri kursus tersebut dan ini pernah dipraktiskan oleh Ketua Pusat Sumber Pengetahuan sebelum ini. Saya berasa pelik, bagaimana Ketua sebelum ini mengamalkan praktis seperti itu sedangkan perlu ada seseorang yang berpengalaman untuk duduk di kaunter melayan setiap permintaan terhadap perkhidmatan yang kami tawarkan.
Saya mungkin akan membenarkan salah seorang sahaja daripada mereka untuk menghadiri kursus itu dan yang pergi akan perlu berkongsi pengalamannya dengan yang tidak pergi. Itu praktis yang betul. Mana mungkin saya akan membenarkan kedua-duanya pergi sekaligus sedangkan kaunter perkhidmatan Pusat Sumber Pengetahuan perlu ada petugas yang menjaganya. Saya tidak akan tunduk kepada permintaan mereka kerana saya perlu membuat keputusan yang bijak untuk kepentingan bersama.
Dalam membuat sebarang keputusan, input daripada orang bawahan amat penting, tetapi setiap keputusan yang diambil janganlah ke arah kukubesi tahap kekerasannya dan janganlah terlalu mengikut tahap kelembutannya.
0 comments:
Post a Comment