Mengapa Saya Menjadi Wagonist?



Suatu ketika dahulu, semasa saya dan isteri memiliki Proton Wira yang telah ditukar enjinnya kepada enjin 4G93 Turbo GSR, kalangan kerani dan pegawai di tempat kerja saya dulu pernah menyatakan betapa peliknya mereka kerana saya meminati kereta. Malahan mereka menyarankan bahawa saya perlu menukar kereta kepada Proton Waja berdasarkan jawatan saya ketika itu. Saya tersenyum lantas menyatakan bahawa saya memang meminati kereta. Kereta saya sebelum itupun bernadikan enjin Turbo iaitu Daihatsu Charade Aura yang dimasukkan nadi baru iaitu enjin CB70 GTti Turbo yang boleh menewaskan sebuah Proton Waja 1.6 (memang kuat Waja tu) di Lebuhraya PLUS menuju ke Ipoh pada tahun 2004 (kisah benar).

Serasa saya, sehingga kini saya masih lagi meminati bidang kereta. Cumanya setelah menjual Proton Wira GSR Turbo yang kuat minyak itu, saya masih boleh menerima hakikat bahawa kereta saya sekarang agak perlahan daripada Proton Wira tersebut. Tetapi tidak mengapa kerana mungkin kerana usia saya yang bukan 20-an lagi, maka sikap tergila-gilakan kereta laju sudah berkurangan. Hidup berkeluarga ditambah pula dengan kehadiran cahayamata memang membuatkan kita lupa kepada kegilaan terhadap kereta. Masakan tidak, duit gaji banyak disalurkan kepada keperluan keluarga berbanding kereta. Kerugian semasa menyediakan modal untuk membeli kamera DSLR adalah satu keuntungan jangka panjang yang memerlukan kesabaran untuk menikmati pulangannya nanti.

Berbalik kepada topik mengapa saya memilih untuk menjadi Wagonist? Saya tidak pasti istilah itu wujud atau tidak di dalam kamus tetapi ia melambangkan seseorang yang menggemari dan mungkin juga memiliki sebuah kereta wagon. Memilikinya seakan memiliki sebuah van mini kerana keluasan ruang belakang yang membolehkan kita meletakkan barangan yang agak tinggi yang tidak mungkin boleh dimuatkan di dalam sebuah kereta sedan atau aeroback. Malahan, harga kereta wagon pada masa ini semakin tetap dan tidak pula mengalami penurunan harga yang mendadak. Kereta jenis ini juga mempunyai rack di bahagian atas kereta yang membolehkan kita meletakkan kotak serbaguna seperti yang biasa digunakan oleh sebuah MPV.

Memandu sebuah kereta wagon memerlukan suasana santai kerana kereta jenis ini tidak banyak digunakan untuk perlumbaan. Ia boleh memuatkan sebuah enjin yang berkuasa tinggi, tetapi konsep kereta wagon adalah untuk santai. Kereta Nissan AD Resort saya ini juga dipersoalkan pembeliannya oleh kebanyakan rakan kerana mereka merasakan yang saya perlu memandu Proton Perdana pula! Bagi saya, dengan gaji yang sederhana, adalah merugikan jika saya memandu sebuah Proton Perdana! Dan jarak diantara tempat kerja dan rumah yang menjangkau 60 kilometer pergi dan balik adalah tidak praktikal untuk saya memandu kereta yang bersesaran 2000 cc itu. Saya mementingkan praktikaliti sesebuah kenderaan. Itulah sebabnya saya memilih kereta wagon yang mempunyai banyak kegunaan dan boleh juga diubahsuai menjadi lebih sporty seperti sebuah Nissan Sunny California Y10 yang memang nampak 'gempak'!

Bagi anda yang sudah berumur sebaya saya (awal 30-an), apa kata cuba membeli kereta jenis wagon? Selain daripada Nissan AD Resort, anda boleh mendapatkan kereta jenama Volvo Wagon, Subaru Forester, dan sebagainya. Di Jepun, terlalu banyak jenama kereta yang turut dikeluarkan dalam versi wagon seperti Mitsubishi Lancer Libero, tetapi kereta-kereta tersebut tidak pula memasuki pasaran Malaysia. Ia versatile/multipurpose dan memiliki rupabentuk yang menarik serta tahap penjimatan minyak yang mengagumkan! Jadi, carilah sebuah kereta wagon hari ini!

0 comments:

Post a Comment

My Instagram