Kesesakan Teruk Di MRR2 Ampang - Ulu Kelang

Pagi ini saya kembali menggunakan MRR2 kerana isteri saya bercuti dan saya tidak menggunakan Lebuhraya DUKE seperti kebiasaannya. Jika saya menggunakan MRR2, tempoh yang diambil untuk sampai ke Mines dari Gombak ialah lebih kurang 30 minit jika tiada kesesakan lalulintas. Tetapi, jika jalan sesak teruk, ada kemungkinan juga untuk saya sampai ke tempat kerja dalam masa 1 jam dan lebih. Pagi ini saya cuma mengambil masa 45 minit untuk sampai. Saya bertolak dari Gombak pada pukul 7:50 dan clock in di pejabat pada pukul 8:35 pagi.

Kesesakan luarbiasa tetapi untuk jarak yang pendek lebih kurang 1 kilometer terjadi setiap hari dari Bukit Antarabangsa menghala susur keluar ke Ampang yang menyekat perjalanan saya dan pengguna yang lain untuk tempoh 15 minit. Faktor yang menyebabkan terjadinya kesesakan luarbiasa sepanjang 1 kilometer ini amatlah mudah. Ia terjadi daripada sikap para pemandu yang berebut-rebut mahu menyusur keluar ke Ampang sehingga membentuk dua hingga ke tiga barisan. Sedangkan jalan yang digunakan untuk proses berebut-rebut itu adalah untuk perjalanan terus di MRR2 itu. Ini telah menyebabkan kenderaan yang ingin meneruskan perjalanan selepas susur keluar itu melalui MRR2 akan turut tersekat dan menyebabkan keadaan kesesakan yang teruk sehingga ke Bukit Antarabangsa. Pada suatu ketika dahulu sebelum adanya lebuhraya DUKE, kesesakan yang teruk melanda MRR2 dari Ampang dan ekornya terlalu panjang sehingga ke Zoo Negara!
Selepas sahaja keluar dari seksa di susur keluar Ampang, saya dan pemandu-pemandu lain meneruskan perjalanan ke destinasi masing-masing. Saya mengambil masa 20 minit untuk perjalanan dari Ampang sehingga ke Mines. Perjalanan pagi ini amat selesa kecuali di tempat yang tersekat tadi. Pihak berkuasa tempatan atau pihak yang menyelenggara MRR2 perlu memikirkan kaedah terbaik untuk menangani masalah yang sudah berlanjutan sejak dari pembukaan MRR2 itu lagi.

0 comments:

Post a Comment

My Instagram