Audit Dalaman Dan SOP

Saya menganggap aktiviti audit dalaman berdasarkan SOP (standard of procedure) adalah satu aktiviti yang sihat, dimana kita boleh mencari mana-mana jurang untuk didekatkan dan memperbaiki apa yang patut di dalam sesebuah jabatan atau organisasi. Sebab itulah SOP dibangunkan dan dijadikan panduan oleh setiap staf dan dirujuk juga oleh pihak auditor. Aktiviti mengaudit ini adalah aktiviti yang patut diadakan setiap suku tahunan bagi memastikan aktiviti sesebuah jabatan atau organisasi itu berjalan dengan lancar dan mengikut prosedur yang telah ditetapkan.
Namun begitu, di kebanyakan syarikat dan organisasi, audit dalaman telah dijadikan medan untuk mencari salah. Ada juga syarikat yang mengenakan denda pada proses audit yang pertama sehingga menyebabkan kredibiliti sesebuah jabatan menjunam jatuh dan dijadikan sasaran untuk pemulihan. Ya, kegagalan untuk mengadaptasi prosedur mungkin melanggar tatacara yang telah ditetapkan, tetapi proses audit dalaman sepatutnya dijadikan medan untuk saling menaikkan, membersihkan dan memperbetulkan apa yang sepatutnya diperbetulkan. Ada juga pihak audit yang menunjukkan kuasa dengan cara mengaudit dan kemudiannya menyimpan sahaja laporan audit tersebut daripada pengetahuan jabatan yang telah diauditnya.
Saya suka mencadangkan bahawa audit dalaman adalah medan untuk memperbetulkan keadaan dan terpulanglah kepada sesebuah jabatan itu untuk memperbaiki apa yang patut untuk proses audit oleh pihak luar (external audit). Laporan audit wajar diserahkan kepada jabatan yang diaudit supaya penambahbaikan dapat dilakukan dengan segera. Sikap prejudis wajar dijauhkan sekiranya markah audit yang diterima oleh sesebuah jabatan adalah rendah dan perlukan penambahbaikan. Malahan, pihak yang menjalankan proses audit mestilah berbincang dengan ketua jabatan untuk mengenalpasti mekanisme yang membolehkan proses penambahbaikan dijalankan dengan kadar segera dan sewajarnya. Dengan itu, semua jabatan di dalam sesebuah agensi atau syarikat dapat mengenalpasti kelemahan-kelemahan yang ada untuk diperbaiki dan ditambahbaik.
Seharusnya proses audit adalah bukan untuk memeningkan para pekerja sebaliknya ia adalah medan untuk mendapatkan maklumbalas sewajarnya untuk melakukan penambahbaikan dan mengenalpasti kelemahan supaya tindakan yang sewajarnya untuk menangani kelemahan-kelamahan itu dapat dilaksanakan. Sikap tolong menolong amatlah wajar diamalkan diantara pihak yang menjalankan proses audit dan pihak jabatan yang terbabit.

0 comments:

Post a Comment

My Instagram