Budaya Lepak : Apa Aspirasinya?

Budaya lepak dan perkataan lepak muncul semasa saya masih di alam remaja lagi, iaitu pada awal tahun-tahun 90-an. Semasa itu muncul banyak kompleks membeli belah di Kuala Lumpur (saya bercerita mengenai konteks di Kuala Lumpur kerana saya tinggal di Kuala Lumpur) seperti Lot 10, Sogo dan yang sedia ada seperti Sungai Wang Plaza, The Mall dan banyak lagi. Kebangkitan kompleks-kompleks ini amat bagus kerana ia telah membawa kita ke dimensi baru dalam aktiviti membeli-belah. Sekurang-kurangnya banyak jenama terkenal di bawa masuk ke Malaysia yang mana orang kita tidak perlu lagi ke luar negara untuk membeli barangan jenama-jenama terkenal.
Namun begitu, ramai remaja pada masa itu telah abuse kegunaan kompleks-kompleks membeli belah tersebut untuk tujuan melepak. Melepak di sini memberi maksud yang mereka ke sana hanyalah untuk bersidai di kompleks-kompleks tersebut tanpa halatuju yang jelas, membuang masa, dan menghabiskan wang pemberian ibubapa. Apa tujuan sebenar mereka melepak? Apa yang mereka ingin capai dengan aktiviti melepak? Tiada! Tiada apa yang boleh dicapai dengan aktiviti tersebut! Cuba namakan kepada saya apakah kebaikan dan apa keuntungan daripada aktiviti melepak? Jawapannya, hanya membuang masa..
Faktor yang menyebabkan terjadinya perlakuan lepak ini adalah berfikiran singkat terhadap misi dan visi hidup. Jurulepak seperti itu juga sebenarnya tidak pandai mencari peluang yang sentiasa tersedia di dalam hidup mereka. Mereka hanya berfikir mengenai keseronokan pada waktu itu juga. Mereka suka bergelak ketawa, mengganggu orang lain (terutamanya mengganggu gadis-gadis yang lalu lalang di hadapan mereka), merosakkan harta benda awam, dan penyakit terbaru yang muncul iaitu menconteng dinding dan menamakannya sebagai grafiti secara haram iaitu tanpa kebenaran. Jika mereka melepak di restoran atau kedai makan, maka mereka akan memesan segelas air dan melepak selama tiga ke empat jam. Jika ada perlawanan bolasepak luar negara, maka tempoh perlepakkan itu akan menjadi panjang lagi.
Kesannya ialah muncul golongan yang tidak tahu mencari aktiviti yang berfaedah, menyakitkan pemandangan, dan melahirkan golongan yang dungu lagi mandul pemikiran. Secara tidak langsung, ia memberi kesan kepada pembangunan negara dimana banyak peluang pekerjaan tidak diisi oleh anak-anak muda tempatan yang akhirnya melambakkan lagi jumlah warga asing yang bekerja di negara kita ini. Sememangnya di dalam aspek pentadbiran negara, kita amat memerlukan pelapis yang berkaliber dan mempunyai potensi untuk menjadi pemimpin masa akan datang yang akan menggantikan pemimpin pada masa ini. Tetapi, jika 3/4 daripada para remaja suka melepak, akan adakah pengganti pentadbir sekarang? Adakah kita akan terpaksa mengimport para pentadbir dari luar negara?
Penyelesaiannya, remaja perlu memikirkan siapa mereka 10 tahun lagi? Adakah mereka seorang yang akan menjawat jawatan profesional atau sekadar kutu jalanan yang sama seperti 10 tahun dahulu? Fikirkanlah musibah yang bakal menimpa jika mereka tiada pelajaran. Sudahlah tiada pelajaran, tidak tahu menguruskan hidup pula! Ada dikalangan orang-orang tua kita yang tiada cukup pelajaran tetapi kaya kerana tahu menjalankan perniagaan, bagaimana dengan remaja-remaja yang tiada pelajaran dan tidak tahu pula menguruskan hidup? Pasti kecundang! Jadi, persiapkanlah diri untuk menjadi orang yang berguna pada masa akan datang, supaya kita tidak ketinggalan dalam persaingan merebut peluang yang ada di depan mata. Jangan fikirkan keseronokan pada masa itu sahaja, fikirkan apa kita akan jadi 10 atau 5 tahun akan datang. Seronok memanglah seronok, tetapi apabila tiba masanya untuk mencari wang demi sesuap nasi, pada masa itu sesal sudah tidak berguna lagi. Lebih baiklah menyesal sekarang daripada menyesal kemudian. Janganlah terlibat lagi dengan budaya lepak yang tidak mendatangkan duit pun..!!!!

0 comments:

Post a Comment

My Instagram