Pagi ini sesampai sahaja di kawasan tempat kerja saya di kawasan Mines, keadaan kereta berbaris sementara menunggu mendapatkan tempat letak kereta. Saya yang biasa mendapat tempat letak kereta yang berdekatan dengan bangunan ini (rahsia..) tidak mendapat tempat yang selesa lagi, bahkan tidak juga mendapat tempat letak kereta di hadapan sebuah restoran makanan Cina di sebelah bangunan ini. Nampak gayanya, saya terpaksa juga meletakkan kereta saya di sebuah bangunan terbengkalai yang terletak bersebelahan dengan Palace of the Golden Horses yang terletak kira-kira 1 kilometer dari pejabat saya.
Keadaan ini adalah perkara biasa jika sebuah badan kerajaan mengadakan peperiksaan di bangunan ini. Bangunan ini memang terkenal dengan peperiksaan dan apabila diadakan peperiksaan, maka para pekerja di bangunan ini akan menghadapi masalah untuk meletakkan kereta. Saya tidak pasti peperiksaan apa yang dijalankan, mungkin juga peperiksaan untuk kenaikan pangkat.
Pada mulanya, saya seperti kereta-kereta lain telah berbaris panjang walaupun jam baru menunjukkan pukul 8:25, tetapi akibat daripada barisan yang panjang itu, saya telah clock in pada pukul 8:50, yang menyebabkan saya terpaksa pulang pada pukul 6:00 petang nanti. Setelah berbaris dan dihalau ke tempat lain (Head of Department pun kena halau?) saya telah meminta pertimbangan para pengawal di situ untuk membenarkan saya meletakkan kereta sebentar supaya saya boleh mengejar masa. Mungkin kerana pengawal dari Nepal itu hanya faham ayat yang biasa dihafalnya, maka beliau meminta saya untuk mencari tempat letak kereta di tempat lain.
Saya telah bergegas ke tempat letak kereta di depan sebuah restoran makanan cina yang juga menyediakan tempat letak kereta. Kerana tiada juga tempat yang sesuai, saya telah meletakkan kereta di sebelah kereta orang lain. Tetapi tiba-tiba saya didatangi oleh penjaga letak kereta di situ dan meminta saya beredar. Saya telah meminta jasa baik beliau untuk membenarkan saya meletakkan kereta untuk 10 minit sahaja supaya saya dapat clock in sebentar dan berjanji akan mengalihkan kereta saya selepas itu. Namun beliau tidak juga membenarkan saya meletakkan kereta di situ walaupun untuk seketika!
Akhirnya saya terpaksa juga meletakkan kereta saya di kawasan lapang di sebelah Hotel Palace of the Golden Horses yang terletak kira-kira 1 kilometer dari tempat kerja saya (pejabat). Mujurlah di pertengahan jalan, saya nampak pemandu syarikat sedang meletakkan kereta di hadapan bangunan sebelah, saya telah membuka tingkap kereta dan meminta pertolongan beliau. Beliau menganggukkan kepala tanda faham dan saya meneruskan perjalanan ke tempat letak kereta tersebut. Sesampai sahaja di situ, saya lihat beberapa pekerja syarikat tempat saya bekerja turut terpaksa meletakkan kenderaan mereka di situ. Seketika kemudian, pemandu syarikat telah tiba untuk menjemput dan menghantar saya ke bangunan tempat saya bekerja. Nasib baik! Cuma yang dikhuatirkan ialah apabila tiba waktu pulang nanti, pemandu syarikat tentulah sibuk dengan penghantaran para pekerja ke stesen LRT Sungai Besi, maka saya terpaksalah 'bersenam' sejauh 1 kilometer petang ini untuk mengambil kereta!
0 comments:
Post a Comment